ANWAR berucap pada Majlis Berbuka Puasa Madani di pekarangan Masjid Tengku Ampuan Afzan. FOTO Bernama
ANWAR berucap pada Majlis Berbuka Puasa Madani di pekarangan Masjid Tengku Ampuan Afzan. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuantan: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap Kementerian Ekonomi dan semua kementerian serta agensi berkaitan dengan projek-projek keutamaan di Pahang dapat memberikan perhatian khusus dan menyegerakan projek terbabit.

Beliau berkata, ia bagi memastikan kelancaran perancangan dan keberkesanan pelaksanaan pembangunan projek-projek berkenaan.

"Projek-Projek ini merupakan inisiatif berimpak tinggi kepada rakyat khususnya warga Pahang dan mereka akan menikmati manfaatnya dalam jangka masa panjang," katanya dalam hantaran di laman Facebook.

Anwar, ketika melakukan lawatan kerja sehari ke Pahang petang tadi, telah mempengerusikan Taklimat Pembangunan Negeri Pahang yang dihadiri oleh Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan ketua-ketua jabatan di negeri itu.

Turut hadir Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan Datuk Johan Mahmood Merican.

Perdana Menteri berkata, dalam mesyuarat itu, pelbagai projek pembangunan dan perancangan seperti menaik taraf, membina infrastruktur dan kemudahan rakyat Pahang telah dibentang serta dibincangkan merangkumi aspek pengangkutan, utiliti, perumahan, kesihatan dan pendidikan.

Beliau berkata, antaranya projek menaik taraf Jalan Pos Pos Sinderut di Lipis, projek Bekalan Air Luar Bandar untuk Kampung Kuala Sat dan Kampung Pagi serta kawasan Mukim Hulu Tembeling di Jerantut, cadangan pembinaan persimpangan bertingkat Bukit Rangin, Jalan Kuantan-Chukai serta projek menaik taraf lapangan terbang sedia ada Pulau Tioman di Rompin dan pemanjangan landasan.

Turut dibincang projek meroboh blok kuarters sedia ada dan membina blok baharu tambahan Hospital Tengku Ampuan Afzan, menaik taraf Jalan Sungai Koyan (laluan Raub ke Sungai Koyan ke Ringlet) di Raub dan Lipis, projek pembinaan Kolej Komuniti Jelai di Lipis serta projek pembinaan jalan baharu Kuala Medang ke Tanjung Gahai ke Bukit Kota di Lipis.

Terdahulu, Anwar menghadap Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Abdulaziz sebelum ke pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri bagi sesi taklimat tersebut.

Perdana Menteri seterusnya melakukan jelajah mesra di Bazar Ramadan Taman Kerang dan menghadiri Majlis Berbuka Puasa Madani peringkat negeri Pahang di Masjid Tengku Ampuan Afzan, Indera Mahkota.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mac 2024 @ 12:35 AM