PARLIMEN Malaysia. FOTO Arkib NSTP.
PARLIMEN Malaysia. FOTO Arkib NSTP.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Persidangan Dewan Rakyat malam ini meluluskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 selepas dibahaskan sejak 16 Okt lepas.

Rang Undang-Undang itu diluluskan selepas mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen melalui undian suara.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul mengumumkan perkara itu selepas bacaan kali ketiga rang undang-undang berkenaan oleh Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan.

Rang Undang-Undang itu yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 13 Okt lalu itu melibatkan peruntukan RM393.8 bilion iaitu belanjawan tertinggi pernah dibentangkan dalam sejarah Malaysia.

Daripada jumlah peruntukan belanjawan yang bertemakan 'Reformasi Ekonomi Memperkasa Rakyat' itu, sebanyak RM303.8 bilion adalah untuk perbelanjaan mengurus, RM90 bilion sebagai perbelanjaan pembangunan manakala RM2 bilion pula disediakan untuk simpanan luar jangka.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 November 2023 @ 9:28 PM