Raja Noraina Raja Rahim

Bentong: Kawasan Bukit Tinggi dilanda banjir kilat susulan hujan lebat berterusan selama beberapa jam, malam tadi.

Berdasarkan rakaman video kejadian yang tular di Facebook menunjukkan arus deras turun dari kawasan tinggi hingga membanjiri kawasan rendah di pekan Bukit Tinggi.

Menerusi rakaman video berkenaan, beberapa kenderaan terperangkap dalam banjir dan harta benda dihanyutkan arus.

Ahli Parlimen Bentong Young Syefura Othman ke lokasi sejurus mendapat maklumat itu.

Menurutnya, keadaan banjir sudah surut dan kerja pembersihan sedang dijalankan.

RAKAMAN video kejadian yang tular di Facebook menunjukkan arus deras turun dari kawasan tinggi hingga membanjiri kawasan rendah di pekan Bukit Tinggi. FOTO FB JKOM ZON TIMUR
RAKAMAN video kejadian yang tular di Facebook menunjukkan arus deras turun dari kawasan tinggi hingga membanjiri kawasan rendah di pekan Bukit Tinggi. FOTO FB JKOM ZON TIMUR

"Saya bertemu penduduk dan Ketua Balai Polis Bukit Tinggi, Balai Polis Genting, Balai Polis Bentong serta pasukan Balai Bomba dan Penyelamat Bentong.

"Saya juga melihat sendiri laluan di Janda Baik yang terputus dan tanah runtuh mengakibatkan pokok besar tumbang dan menghalang laluan," katanya dalam kenyataan di Facebook.

Selain itu, beliau memberitahu sudah meminta kerjasama pihak Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim bagi segera membaik pulih kawasan terbabit.

Beliau turut menyeru pengusaha chalet, inap desa dan pengunjung yang berkhemah di Janda Baik serta Bukit Tinggi supaya waspada dengan keadaan cuaca semasa selain mematuhi arahan pihak berkuasa jika terdapat keperluan untuk berpindah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 November 2023 @ 8:33 AM