GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Gaya hidup sihat dengan mengurangkan pengambilan gula perlu diterapkan awal terutama di usia kecil bagi 'melahirkan' masyarakat yang lebih sihat.

Pakar Kesihatan Pekerjaan, Kecemasan dan Kesihatan Awam Dr Hanafiah Bashirun berkata, amalan mengurangkan gula dalam setiap jamuan yang disarankan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kepada semua kementerian adalah tindakan yang wajar.

Menurutnya, bahkan kempen itu perlu dilaksanakan di semua lapisan masyarakat untuk mengikuti saranan berkenaan dan tidak hanya tertumpu kepada satu pihak saja.

"Data terbaru 2021 menunjukkan, 20 peratus rakyat Malaysia dewasa, atau kira-kira 4.5 juta individu, menghidap kencing manis.

"Ini sangat membimbangkan dan jumlah itu semakin meningkat. Selain kos rawatan kencing manis yang perlu ditanggung kerajaan, kos komplikasi daripada masalah itu juga menjadi beban," katanya dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, beberapa langkah perlu dilakukan kerajaan untuk membendung isu berkenaan dan saranan Anwar juga dapat membantu mengurangkan risiko terbabit.

Katanya, selain itu, gaya hidup sihat perlu ditekankan sejak awal terutama di peringkat usia kanak-kanak kerana ketika ini, ramai kanak-kanak berdepan masalah obesiti.

"Kempen kesihatan yang lebih kerap dan jitu berkaitan kencing manis perlu dilakukan untuk mengelakkan beban kesihatan di masa depan," katanya.

Semalam, Harian Metro melaporkan, ketika menyeru rakyat untuk mengurangkan pengambilan gula dalam makanan bagi mengelak risiko penyakit diabetes, Anwar mengarahkan semua kementerian melaksanakan kempen kurangkan gula dalam pemakanan.

Terdahulu, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa dipetik berkata, dapatan hasil kajian Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 mendapati, prevalens kencing manis di Malaysia adalah tertinggi di Asia Tenggara yang mana ia mencatatkan peningkatan ketara daripada 11.2 peratus pada 2011 kepada 18.3 peratus pada 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 November 2023 @ 1:23 PM