Siti Nadirah Hafidzin

Lambakan produk minuman segera di pasaran sememangnya memudahkan terutama ketika sibuk di pejabat atau dijadikan pelengkap ketika bersarapan.

Walaupun ia memudahkan, namun perlu difikirkan mengenai jumlah gula yang terkandung di dalam satu paket minuman segera itu.

Agak sukar untuk menemui produk minuman segera yang benar-benar menepati jumlah gula sesuai kerana rata-ratanya sangat manis.

Memenuhi keinginan selera dengan menikmati pelbagai jenis makanan atau minuman yang lazat bukan suatu kesalahan, namun disebabkan pengambilannya perlu dikawal kerana kebanyakannya mempunyai kandungan gula yang tinggi.

Tanggapan umum yang melihat individu gemuk itu tidak sihat adalah tidak tepat. Ini kerana ramai individu kurus juga mengalami pelbagai masalah kesihatan seperti kolesterol tinggi dan diabetes yang boleh berlaku pada sesiapa saja tanpa mengira usia mahupun berat badan.

Namun tentu saja, individu yang mengambil makanan manis secara berlebihan lebih tinggi risikonya untuk mengalami masalah kesihatan termasuk peningkatan berat badan.

Menurut Doktor Kanan Kumpulan Perubatan Penawar Sdn Bhd, Dr Zubaidi Ahmad, pengambilan gula dalam diet seharian individu memainkan peranan utama dalam menentukan tahap kesihatannya.

“Perkara yang amat dibimbangi kini adalah pengambilan gula dalam kalangan rakyat Malaysia yang dikesan menjadi punca obesiti dan pelbagai jenis penyakit kronik.

“Pada masa sama, kita bukan hanya bimbang berapa peratus gula yang diambil dalam sehari terutama melalui pelbagai produk minuman campuran namun perlu difikirkan juga berapa nilai Indeks Glisemik (GI) produk itu.

“Kadar GI yang tinggi akan memberi kesan kepada peningkatan gula dan insulin dalam darah seseorang,” katanya.

Elak minuman segera terlalu kerap

Berpantang gula atau minuman manis adalah perkara yang baik. Bagaimanapun, tiada halangan untuk menikmati minuman segera kegemaran anda asalkan diambil secara bersederhana.

“Ini kerana kebanyakan produk minuman sebegini mempunyai gula ringkas daripada sumber karbohidrat ringkas yang berproses.

“Gula ringkas ini memberikan nilai GI yang tinggi dan sekiranya GI tinggi, ia akan mencetuskan masalah kesihatan kepada individu terbabit,” katanya.

ELAK minuman segera yang mengandungi kandungan gula berlebihan.
ELAK minuman segera yang mengandungi kandungan gula berlebihan.

Menurut Dr Zubaidi, bagi individu sihat, kadar GI yang tinggi boleh meningkatkan berat badan manakala bagi individu yang mempunyai masalah kesihatan, ia akan menyebabkan penyakit dihidapi semakin sukar dikawal dan dirawat.

“Bagi yang pernah mengalami strok atau serangan sakit jantung, lebihan GI boleh meningkatkan risiko penyakit itu berulang.

“Manakala yang ada masalah ginjal, ia boleh menyebabkan kerosakan organ lain,” katanya.

Tambahnya, langkah terbaik adalah mengurangkan atau terus mengelakkan daripada mengambil sebarang minuman segera atau campuran terutama kepada individu yang mempunyai penyakit.

Mencegah lebih baik

Seperkara yang perlu diketahui adalah, amat sukar untuk pesakit mengawal paras gula darah mereka dengan baik jika mengambil produk minuman segera.

Dr Zubaidi berkata, semua pakar pemakanan dan perubatan bersetuju bahawa produk makanan dan minuman yang manis adalah produk kurang sihat.

“Ini baru mengenai produk minuman, belum mengupas mengenai makanan yang diambil ketika sarapan, tengah hari, malam atau ketika minum petang.

“Oleh itu, saya sarankan supaya menghentikan pengambilan makanan dan minuman manis kerana ramai tidak menyedari kandungan gula tersembunyi yang tinggi,” katanya.

Pilihan ada di tangan setiap orang. Tidak rugi jika berpantang sedikit demi kesihatan diri sendiri dan insan terdekat kerana jika anda sakit, mereka juga akan berasa tempiasnya.

“Pilih sama ada mahu makan sedap atau secara sihat. Kalau anda kreatif, ada banyak makanan

sihat yang sedap. Bagi yang sudah melewati usia 40, sudah sampai masanya untuk anda lebih tegas dalam menjaga kesihatan diri. Apabila semakin berusia, sistem badan juga turut berusia dan ini sebabnya kita lebih cenderung untuk menghidap penyakit khususnya yang berkaitan dengan gaya hidup.

“Bagaimanapun, seperti yang saya kata, ini bukan bermakna anda tidak boleh menikmati minuman lazat terutama berasaskan buah-buahan. Anda boleh menikmati apa saja minuman kegemaran, asalkan ia diambil secara bersederhana,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Februari 2018 @ 1:04 PM