BANTUAN berbentuk tunai mampu meringankan sedikit beban mereka yang terkesan ketika pandemik Covid-19 melanda negara.
BANTUAN berbentuk tunai mampu meringankan sedikit beban mereka yang terkesan ketika pandemik Covid-19 melanda negara.

KERAJAAN boleh memanfaatkan pangkalan data bantuan tunai sedia ada seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) untuk digunakan bagi menyalurkan subsidi secara bersasar kepada kumpulan rentan, demikian kata Bank Dunia.

Ketua Ahli Ekonomi Malaysia Bank Dunia, Dr Apurva Sanghi berkata, dari segi pangkalan data kumpulan rentan, Malaysia sememangnya sudah ada dan ia dilihat agak berkesan dari segi penyaluran bantuan tunai.

Katanya, Malaysia juga berjaya menyalurkan bantuan tunai kepada kumpulan terkesan secara cekap dengan menggunakan pangkalan data sedia ada terutama ketika tempoh pandemik.

Katanya, sudah tiba masanya untuk Malaysia melaksanakan subsidi bersasar yang akan memanfaatkan isi rumah berpendapatan rendah secara lebih berkesan.

"Malaysia tidak mempunyai isu mengenal pasti mereka yang layak untuk menerima subsidi bersasar.

"Malaysia mempunyai pangkalan data bantuan tunai dan ia berjaya dalam menyalurkan bantuan tunai kepada mereka yang terkesan ketika Covid-19," katanya ketika diminta mengulas mengenai pelaksanaan subsidi bersasar.

Mengenai pelaksanaan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), Sanghi berkata, pelaksanaan cukai kepenggunaan itu dilihat mampu menyumbang kepada peningkatan pendapatan negara.

Beliau berkata, GST yang dilaksanakan di 174 negara adalah kaedah terbaik dalam menggerakkan pendapatan dan ia juga adalah satu sistem cukai yang cekap.

Sementara itu, Apurva berkata terdapat kemungkinan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menghentikan sementara kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) buat masa ini.

Beliau berkata, kebimbangan meningkat terhadap prestasi ekonomi tahun ini di samping kesan daripada pelarasan kadar yang mengambil masa untuk menunjukkan kesan juga mendorong bank pusat untuk menghentikan sementara kenaikan kadar.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Februari 2023 @ 7:02 AM