DATUK Seri Johari Abdul Ghani ketika menghadiri Persidangan Dewan Rakyat di. FOTO Bernama
DATUK Seri Johari Abdul Ghani ketika menghadiri Persidangan Dewan Rakyat di. FOTO Bernama
Zanariah Abd Mutalib


Kuala Lumpur: Kerajaan dicadang supaya memberikan subsidi secara bersasar kepada rakyat melalui pemindahan tunai secara bulanan, berbanding mekanisme subsidi pukal yang dilaksanakan ketika ini.

Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata sistem pemindahan tunai membolehkan golongan sasar menggunakan wang subsidi yang diberikan terus kepada mereka untuk membeli barang keperluan pada harga pasaran, berbanding subsidi pukal yang bersifat regresif, memanfaatkan golongan berpendapatan tinggi dan terdedah kepada ketirisan.

Mengambil contoh subsidi minyak masak, Johari berkata, kerajaan mengeluarkan 60,000 tan metrik minyak masak bersubsidi sebulan, namun akhirnya tidak semua rakyat yang dapat membelinya, sebaliknya turut dinikmati warga asing.

"Selalunya, apabila dasar kita tidak berjaya, ia disebabkan ada yang rugi dalam rantaian itu. Dia tidak mendapat subsidi dan tertinggal.

"Jadi, saya sarankan kerajaan lihat semula pengedaran minyak masak ini kerana ada ketirisan.

"Jika betul-betul nak bantu B40 dan M40, kita beri secara pemindahan tunai saja. Jadi, kita dapat menjimatkan berbilion ringgit (dalam bentuk pemberian subsidi)," katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2024 di Dewan Rakyat, hari ini.

Ketika membentangkan Belanjawan 2024 pada Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan melakukan penyasaran semula subsidi secara berfasa bermula tahun depan, dengan penjimatan disalur untuk meningkatkan peruntukan STR daripada RM8 bilion kepada RM10 bilion.

Selain itu, Johari yang juga bekas Menteri Kewangan II, berkata pada tahun lalu, kerajaan membelanjakan hampir RM62 bilion untuk subsidi bahan api.

Katanya, jika dibandingkan dengan Sumbangan Tunai Rahmah (STR)yang dianggarkan kira-kira RM10 bilion, perbelanjaan kerajaan bagi subsidi tidak bersasar adalah empat kali ganda, berbanding STR.

"Dengan menjimatkan separuh subsidi bahan secara tidak bersasar, katakan kita jimatkan RM20 bilion, kerajaan boleh tingkatkan peruntukan STR sebanyak tiga kali ganda, melalui penyusunan semula subsidi secara bersasar.

"Jumlah bayaran ini, kerajaan boleh tentukan. Kita berikan pemindahan tunai setiap bulan, bukan sekali bagi kerana apabila diberi setiap bulan, penggunaan akan meningkat dan industri akan membangun.

"Ia akan memberi kesan berganda jika kita betul-betul menyusun strategi ini dan akan beri kesan yang sangat baik serta cekap kepada putaran ekonomi negara," katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui pelaksanaan subsidi bersasar bahan api itu tidak mudah dan tidak boleh dilakukan secara sekali gus, sebaliknya akan mengambil masa, dengan jumlah subsidi bahan api dikurangkan secara berperingkat dan mengambil kira harga minyak mentah dunia.

"Katakan ia akan mengambil masa lima atau 10 tahun, maknanya setiap tahun kita kurangkan subsidi, contohnya 10 peratus pada tahun pertama dan 10 peratus tahun kedua," katanya.

Sementara itu, Johari turut mencadangkan supaya mana-mana syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang difikirkan strategik oleh kerajaan tidak disenaraikan di Bursa Malaysia selagi belum benar-benar bersedia.

Sebagai contoh katanya, walaupun penyenaraian FGV Holdings Bhd (FGV) berniat baik, namun kegagalan dalam pengurusan menyebabkan syarikat itu mengalami kerugian dan terpaksa diselamatkan.

"Jika kita konsisten dengan pendekatan sedia ada, mana-mana penyenaraian ini, kita anggap sebagai pelaburan yang memaksimumkan pulangan kepada kita.

"Jika kita tidak bersedia untuk ini, kita biarkan saja dalam mana-mana agensi kerajaan, jangan disenaraikan sebab jika tidak, akan ada masalah di luar.

"Kita nak bawa pelabur dari luar untuk menguatkan pasaran saham dan kedudukan ringgit tapi kalau dah keliru dari segi masalah ini, akhirnya kerajaan tidak pilihan, aset terpaksa diselamatkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Oktober 2023 @ 8:39 PM