Mohd Nasaruddin Parzi

Putrajaya: Hasil negara mencapai unjurannya tahun lalu, dengan kira-kira RM238 bilion berjaya diperoleh kerajaan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, angka lebih baik itu diperoleh hasil kutipan masing-masing RM183 bilion oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta RM55 bilion lagi menerusi Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

"Hasil negara, kita akhirnya dapat memenuhi unjuran yang tidak selalu dicapai. Kalau JKDM itu, memang lebih (kutipan) dari yang diunjurkan. (Hasil dikutip) LHDN RM183 bilion dan JKDM RM55 bilion," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan warga Kementerian Kewangan (MOF) bersama Perdana Menteri dan Menteri Kewangan di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Mengulas lanjut Anwar yang juga Menteri Kewangan yakin kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun lalu mencapai tahap empat peratus.

"Kadar KDNK untuk tiga suku pertama 3.9 peratus, sasaran KDNK 2023 insyaAllah 4.0 peratus," katanya turut memaklumkan kadar inflasi akhir tahun lalu juga lebih rendah berbanding tempoh sama pada 2022.

"Sepertimana saya sebut, jangan kita terpukau dengan angka. Saya tak kata statistik itu menipu, statistik boleh dipertahankan, tapi kadang-kadang di beberapa kawasan itu, harga (barangan) itu mungkin berbeza, statistik ini angka purata saja," katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (tiga, kanan) hadir pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan. Turut hadir Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan (dua, kanan), Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying (kiri) dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican (kanan). - FOTO BERNAMA
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (tiga, kanan) hadir pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan. Turut hadir Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan (dua, kanan), Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying (kiri) dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican (kanan). - FOTO BERNAMA

Mengulas pelaksanaan penyasaran subsidi kerajaan, Anwar menjelaskan pentadbirannya fokus untuk meneruskan inisiatif berkenaan, sungguhpun wujud kebimbangan dan kritikan tertentu terhadap pelaksanannya.

Beliau berkata, kerajaan dipimpinnya sama sekali tidak akan meneruskan agihan subsidi sehingga RM80 bilion setahun, selain menyifatkan ia hanya lebih menguntungkan golongan kaya dan warga asing, disamping berupaya merosakkan akar sendi ekonomi negara.

"Subsidi mencecah RM80 bilion tidak mungkin diteruskan. Sebab ia membebankan negara dan merosakkan akar sendi ekonomi negara. Tetapi tidak boleh ditarik subsidi sehingga membebankan rakyat.

"Maka apa yang dilakukan ialah menarik subsidi bagi 3.5 juta warga asing yang selama ini mendapat manfaat pada semua minyak, bekalan letrik, semua mereka dapat guna subsidi selain orang yang maha kaya. Jangan kita beri sedekah kepada orang kaya," katanya.

Beliau juga sudah mengarahkan Kementerian Ekonomi untuk menyegerakan pelarasan subsidi petrol dan diesel.

"Saya sudah bincang degan Kementerian Ekonomi, supaya menyegerakan penyelarasan subsidi bagi minyak. Jika dengan penyasaran itu akan membebankan rakyat, kalau kita dapat kurangkan subsidi dan jimat ini, sebahagiaannya akan dipulangkan balik kepada rakyat.

"Itu sama ada dalam skim STR (Sumbangan Tunai Rahmah), eMadani yang kita berikan langsung kepada rakyat, bukan saja B40 tapi kebanyakannya juga (dinikmati) M40. Kita cuba tingkatkan jumlah bantuan, suntikan rahmah dan eMadani secara langsung kepada rakyat, mudah-mudahan kita dapat bantu rakyat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 January 2024 @ 11:39 AM