GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Petaling Jaya: Pihak polis sedang menanti laporan penuh daripada pihak hospital berkaitan lelaki didakwa mengganggu jurugambar wanita secara seksual seperti didedahkan mangsa di media sosial, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, suspek, 37, sedang menerima rawatan di Hospital Besar Kuala Lumpur (HKL).

"Pihak polis akan mendapatkan laporan penuh perubatan individu berkenaan daripada pihak hospital.

"Kertas siasatan akan dilengkapkan untuk diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk mendapatkan nasihat dan arahan lanjut," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Fakhrudin berkata, pihaknya sudah menerima laporan daripada Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) berkaitan pemilik akaun Instagram yang dikatakan mengganggu mangsa.

"Hasil siasatan dilakukan mendapati lelaki yang menetap di Shah Alam itu sering menggunakan akaun Instagram dan Twitter untuk berhubung dengan pengadu.

"Suspek memberikan komen-komen cinta dan menghantar pesanan berbentuk lucah sehingga menyebabkan ketidakselesaan kepada pengadu," katanya.

Katanya, berdasarkan maklumat diperolehi, pihak polis mengambil tindakan membuat permohonan kepada SKMM untuk menyekat akaun-akaun milik suspek bagi menghentikan perbuatan dan perlakuannya terhadap mangsa.

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan dan

menyebarkan sebarang bahan di mana-mana platform bagi mengelakkan spekulasi yang menjejaskan siasatan pihak polis," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan pihak polis mengesahkan menerima laporan berhubung gangguan seksual dalam talian dihadapi jurugambar wanita pada 2018.

Sebelum ini, mangsa menerusi satu hantaran di Instagram, baru-baru ini, berkongsi kisah bagaimana dirinya sering diganggu secara seksual oleh individu bernama 'Shafiq Rosli'.

Mangsa mendakwa kerap menerima mesej lucah dan video memaparkan suspek berkenaan berkelakuan jelik.

Susulan itu, sebuah media tempatan melaporkan, suspek berkenaan mula mengganggu mangsa sejak 2016 dengan meninggalkan komen di halaman blognya.

Suspek terbabit dikatakan mula menghendap mangsa sejak 2017 malah pernah mengekori mangsa ke sebuah restoran makanan segera dan ke rumah mangsa.

Berita berkaitan:

'Shafiq Rosli' ganggu wanita secara seksual dirawat di wad mental

Lapan tahun diganggu lelaki psiko

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Julai 2023 @ 6:36 PM