PASIR MAS, 23 Nov -- Halaman beberapa buah rumah di Kampung Tersang, Rantau Panjang digenangi air akibat limpahan Sungai Golok ketika tinjauan Bernama.
PASIR MAS, 23 Nov -- Halaman beberapa buah rumah di Kampung Tersang, Rantau Panjang digenangi air akibat limpahan Sungai Golok ketika tinjauan Bernama.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Jumlah mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu mencatatkan penurunan malam ini menjadikan jumlah keseluruhan yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) adalah 1,639 orang.

Di KELANTAN, situasi banjir semakin pulih dengan 62 mangsa daripada 14 keluarga masih berlindung di PPS setakat 8.30 malam ini berbanding 373 orang daripada 96 keluarga pagi tadi.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, sebanyak 30 mangsa daripada tujuh keluarga di Pasir Puteh ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Wakaf Raja manakala di Pasir Mas, 32 mangsa daripada tujuh keluarga sedang berlindung di PPS SK Tok Deh.

Di TERENGGANU, jumlah mangsa turut merekodkan penurunan kepada 1,577 orang daripada 428 keluarga setakat 6 petang ini berbanding 3,570 orang daripada 951 keluarga 10 pagi tadi.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, di Kuala Nerus sebanyak 628 mangsa daripada 175 keluarga masih berada di 10 PPS manakala di Kuala Terengganu, 614 mangsa daripada 170 keluarga berlindung di empat PPS.

Sementara itu di daerah Besut, sebanyak 131 mangsa daripada 30 keluarga ditempatkan di sebuah PPS manakala di Marang, 198 mangsa daripada 51 keluarga berlindung di empat PPS.

Di daerah Dungun pula hanya enam mangsa daripada dua keluarga masih ditempatkan di PPS SK Tok Kah.

Dalam perkembangan berkaitan, paras air sungai di stesen-stesen utama negeri berada pada paras normal kecuali stesen Parit Utama di Padang Kemunting, Kuala Nerus dan Sungai Tebak di Jambatan Tebak, Kemaman yang berada pada tahap waspada.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 November 2023 @ 11:13 PM