Suruhanjaya Tenaga. Gambar hiasan
Suruhanjaya Tenaga. Gambar hiasan
BERNAMA

Putrajaya: Suruhanjaya Tenaga (ST) akan memanggil pihak Tenaga Nasional Bhd (TNB) berhubung insiden renjatan elektrik yang menimpa seorang kanak-kanak lelaki berumur 12 tahun di bilik Pencawang Elektrik TNB di Sri Bayu, Bayan Lepas, Pulau Pinang, baru-baru ini.

ST dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan pihak TNB dipanggil bagi membantu siasatan dalam mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Dalam kejadian pada 16 November lalu, media melaporkan mangsa melecur seluruh badan akibat terkena renjatan elektrik dipercayai tersentuh perkakasan elektrik selepas memasuki bilik janakuasa elektrik tersebut untuk mengambil bola yang terpelanting masuk.

Menurut ST sekiranya didapati berlaku sebarang kecuaian atau kesalahan oleh mana-mana pihak dalam insiden berkenaan, tindakan undang-undang akan diambil di bawah Akta Bekalan Elektrik 1990 [Akta 447] dan Peraturan-Peraturan Elektrik 1994.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 November 2023 @ 6:15 PM