Empat penguat kuasa direman tujuh hari bermula hari ini selepas SPRM membuat permohonan reman itu di Mahkamah Majistret, Kota Kinabalu, pagi tadi. FOTO SPRM
Empat penguat kuasa direman tujuh hari bermula hari ini selepas SPRM membuat permohonan reman itu di Mahkamah Majistret, Kota Kinabalu, pagi tadi. FOTO SPRM
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Empat anggota penguat kuasa direman tujuh hari bermula hari ini kerana disyaki menerima wang rasuah berjumlah RM300,000 daripada ejen dan calon yang mengambil lesen memandu.

Perintah reman sehingga 28 November ini dibenarkan Majistret Wan Farrah Fariza Wan Ghazali selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah di Mahkamah Majistret, Kota Kinabalu, pagi tadi.

Terdahulu, semua suspek lelaki yang berusia dalam lingkungan 30-an dipercayai ditahan kira-kira jam 4 petang semalam ketika diminta hadir memberikan keterangan di pejabat SPRM Sabah.

Media melaporkan sumber berkata, semua suspek dipercayai melakukan perbuatan itu pada tahun 2021 dan 2022 serta disyaki menerima wang rasuah melalui orang tengah sebagai balasan untuk mengeluarkan lesen memandu kepada calon tanpa perlu mengikuti ujian memandu.

Modus operandi yang dilakukan oleh anggota penguat kuasa ini adalah dengan meminta dan menerima rasuah daripada 'orang tengah' antara RM400 hingga RM1,200 daripada setiap calon bagi mendapatkan lesen memandu pelbagai kelas tanpa menjalani ujian memandu.

Kegiatan haram sindiket pengeluaran lesen terbang ini dipercayai menyebabkan kerugian kepada hasil kerajaan sebanyak kira-kira RM1.5 juta," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2023 @ 2:59 PM