MUHAMMAD Firdaus tetap hadir ke Majlis Konvokesyen UUM menerima ijazah sarjana selepas pengebumian bapanya yang meninggal dunia akibat strok semalam. FOTO Ihsan Muhammad Firdaus Othman
MUHAMMAD Firdaus tetap hadir ke Majlis Konvokesyen UUM menerima ijazah sarjana selepas pengebumian bapanya yang meninggal dunia akibat strok semalam. FOTO Ihsan Muhammad Firdaus Othman
Noorazura Abdul Rahman

Sintok: Kurang 24 jam sebelum menaiki pentas bagi menerima ijazah, Muhammad Firdaus Othman, 37, menempuh detik sukar apabila kehilangan bapa tercinta.

Allahyarham Othman Karim, 70, bapa kepada graduan Sarjana Pengajian Perniagaan Islam Universiti Utara Malaysia (UUM) itu meninggal dunia akibat angin ahmar di Hospital Kangar, Perlis pada jam 1 pagi semalam dan selamat dikebumikan di Simpang Empat, Perlis pada hari sama.

Muhammad Firdaus berkata, meskipun baru kehilangan bapanya sebelum hari bersejarah buatnya, dia tetap hadir menerima skrol sebagai bukti kejayaan menamatkan pengajian peringkat sarjana dan ingin meneruskan semangat menyambung cita-cita arwah bapa menjadi seorang pendidik profesional.

Katanya, arwah bapanya sangat gembira apabila mengetahui dia menyambung pelajaran di UUM, malah sanggup membayar yuran pengajiannya pada semester pertama.

"Sesungguhnya, saya amat bersyukur memiliki ibu bapa yang sangat mementingkan ilmu dan adab, tambahan pula arwah bapa adalah bekas pensyarah, manakala ibu, Bderiah Wahab, 70, adalah pesara guru sekolah rendah.

"Saya melihat kedua ibu bapa saya berjaya mendidik anak-anaknya sehingga berjaya ke menara gading dan ada antaranya turut memiliki ijazah sarjana dalam pelbagai disiplin," kata anak keempat daripada enam beradik itu.

Muhammad Firdaus yang bekerja sebagai Penolong Pengurus di sebuah bank di Petaling Jaya kini sedang melanjutkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah di UUM.

Bapa kepada tiga cahaya mata itu menerima ijazah sarjana yang disampaikan oleh Tunku Mahkota Kedah, Tunku Shazuddin Ariff Sultan Sallehuddin yang juga Pro-Canselor UUM pada sesi ketiga di Dewan Mu'adzam Shah, petang semalam.

Seramai 5,738 graduan UUM akan menerima ijazah pada majlis konvokesyen bermula kelmarin.

Daripada jumlah itu, 4,333 ialah graduan sarjana muda dan 1,387 graduan pascasiswazah terdiri daripada graduan Doktor Falsafah, doktor pengurusan, doktor pentadbiran perniagaan, ijazah sarjana dan diploma pascasiswazah, selain 18 graduan diploma eksekutif.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2023 @ 1:44 PM