Nancy Shukri memeluk penerima  Pingat Hang Tuah tahun 2023, Altamis Faiz Shahrullizam, 9, pada Sambutan Hari Kanak-Kanak Peringkat Kebangsaan 2023 di Grand Ballroom, Holiday Villa Johor Bahru. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Nancy Shukri memeluk penerima Pingat Hang Tuah tahun 2023, Altamis Faiz Shahrullizam, 9, pada Sambutan Hari Kanak-Kanak Peringkat Kebangsaan 2023 di Grand Ballroom, Holiday Villa Johor Bahru. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Sebarang keputusan mengenai penggunaan cermin gelap pada kenderaan persendirian bagi mengelak kematian kanak-kanak yang ditinggalkan di dalam kereta, hanya boleh diputuskan Kementerian Pengangkutan.

Bagaimanapun, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata, beliau sudah menyuarakan kebimbangan masyarakat mengenai isu itu kepada Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

"Mengharamkan penggunaan cermin gelap pada kenderaan persendirian itu sebenarnya adalah bidang kuasa Kementerian Pengangkutan.

"Namun Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat sudah memaklumkan Kementerian Pengangkutan mengenai kerisauan masyarakat susulan peningkatan kes kematian bayi yang ditinggalkan secara tidak sengaja di dalam kenderaan yang antara lain disebabkan cermin kenderaan gelap.

"Saya sebenarnya ada berbincang dengan Anthony Loke (Menteri Pengangkutan) supaya beliau lihat perkara ini.

"Sama ada perlu diambil tindakan (mengharamkan cermin hitam) kerana ia menjadi antara punca kes kematian bayi ditinggalkan dalam kenderaan yang semakin meningkat kebelakangan ini, sudah pasti Kementerian Pengangkutan ada penilaian mereka sendiri sebelum mengambil sebarang keputusan akhir," katanya

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Sambutan Hari Kanak-Kanak Peringkat Kebangsaan 2023 di sini, hari ini.

Minggu lalu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dilaporkan mengesyorkan pengharaman cermin gelap pada kenderaan bagi mengelak kematian kanak-kanak yang ditinggalkan di dalam kereta.

Cadangan itu dibuat selepas tiga kanak-kanak meninggal dunia sejak dua bulan lalu selepas ditinggalkan bersendirian di dalam kenderaan.

Ditanya mengenai ketiadaan tindakan pendakwaan terhadap kecuaian ibu bapa serta penjaga yang meninggalkan anak mereka dalam kenderaan sehingga maut, Nancy berkata, pendakwaan kes pengabaian kanak-kanak termasuk meninggalkan mereka dalam kenderaan sehingga maut di bawah bidang kuasa Timbalan Pendakwa Raya.

"Kami tidak ada kuasa untuk mendakwa ibu bapa cuai sehingga kes pengabaian kanak-kanak berlaku.

"Kuasa mendakwa kes pengabaian kanak-kanak tertakluk pada Jabatan Peguam Negara dan Timbalan Pendakwa Raya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 November 2023 @ 3:22 PM