Ilah Hafiz Aziz


Putrajaya: Menteri Besar Kelantan, Datuk Nassuruddin Daud dan Timbalannya, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan menyertai solat hajat bersama kira-kira 800 orang yang hadir pada perhimpunan Mempertahankan Syariah di perkarangan Istana Kehakiman, di sini, pagi ini.

Perhimpunan anjuran Perikatan Nasional (PN) itu bagi membantah tindakan dua individu yang mencabar 20 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Tinjauan BH pada perhimpunan mendapati beberapa pemimpin politik utama PN turut kelihatan hadir antaranya, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad dan Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin.

Turut kelihatan Ahli Jawatankuasa (AJK) Kerja PAS Pusat, Tan Sri Annuar Musa dan Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Orang ramai juga dilihat berkumpul di perkarangan Tuanku Mizan Zainal Abidin Masjid sejak 7 pagi lagi sebelum mereka bergerak ke perkarangan Mahkamah Tinggi.

Gema takbir 'Allahuakbar' dan 'Selamatkan Negara' juga turut kedengaran dalam perhimpunan itu.

Perhimpunan aman itu dianjurkan bagi membantah petisyen seorang peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman yang mencabar 20 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 November 2023 @ 10:54 AM