LAPORAN terdahulu Harian Metro
LAPORAN terdahulu Harian Metro
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan (KPM) perlu menyiasat dan menaik taraf segera infrastruktur khususnya isu penempatan guru di sekolah pedalaman dengan peruntukan sedia ada.

Presiden Ikatan Guru Muslim Malaysia (i-Guru) Mohd Azizee Hasan berkata, keselesaan guru perlu diutamakan dengan menyediakan kemudahan sepatutnya untuk memastikan aspek keselamatan dan tumpuan guru dalam sesi pengajaran tidak terganggu.

"KPM perlu atasi isu membabitkan infrastruktur terutama penempatan guru di pedalaman untuk memastikan keselesaan guru yang berjiwa pendidik dan sanggup bersusah payah untuk pendidikan anak murid.

"Perlu siasat kenapa guru besar itu terpaksa tinggal dalam stor sekolah adakah tiada peruntukan dan naik taraf bangunan.

"Pengorbanan guru besar itu adalah satu usaha wajar dicontohi dan dihargai demi memastikan kelangsungan pendidikan anak-anak luar bandar dan pedalaman," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pendedahan Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Ansuan di Telupid di Sabah, George Odol mengenai pengalamannya menetap dalam stor sekolah selama lebih tiga tahun sejak berkhidmat di sekolah itu.

Mengulas lanjut Mohd Azizee berkata, KPM juga perlu memantau projek penyelanggaraan sekolah untuk mengelak kelewatan dan salah guna peruntukan.

"Di harap masalah dihadapi guru besar ini segera diatasi dan melihat juga isu ini mungkin berlaku di tempat lain supaya segera dibaiki dan dinaik taraf.

"Ini untuk keselesaan pentadbir dan guru yang terpaksa mengharungi kesusahan bertugas di pedalaman dan luar bandar," katanya.

Semalam, George yang akan bersara wajib daripada perkhidmatan perguruan pada 27 November ini dilaporkan berkata, sekolah itu dibina pada 1999 tanpa kemudahan rumah guru.

Katanya, guru yang bertugas di sekolah itu terpaksa menumpang di rumah penduduk kampung dan bilik darjah di sekolah itu yang diubah suai.

Dakwanya, selepas ditempatkan bertugas di sekolah itu pada 2020, dia terpaksa tinggal dalam stor prasekolah dengan keluasan 13.4 meter persegi.

#kw guru besar, kk, stor, iguru, naik taraf,

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 November 2023 @ 12:19 PM