PESERTA HARA 2021.
PESERTA HARA 2021.
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Usaha antirasuah seperti Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA 2021) penting bagi meningkatkan kesedaran mengenai inisiatif pencegahan rasuah ketika keadaan genting ketika ini.

Ketua Pegawai Penyelaras Japanese Chamber of Trade and Industry Malaysia (JACTIM), Kazuya Kitae berkata, ketika dunia menuju ke arah pemulihan, ia penting supaya sektor swasta dan awam tidak menuju ke arah rasuah.

Katanya, Malaysia melakukan tugas yang baik dalam mengadakan program ini dan menyebarkan idea ke seluruh negara.

"Kita jangan biarkan salah laku terjadi dan kerana itu HARA 2021 amat penting dalam sesi hari ini," katanya selepas menghadiri dialog sambutan berkenaan yang diadakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Wisma Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) .

Sambutan berkenaan merangkumi pembentangan Ringkasan Usaha-Usaha Antirasuah di Malaysia yang merangkumi inisiatif antirasuah, undang-undang dan polisi.

Ia termasuklah panduan pemberian hadiah, penguatkuasaan liabiliti korporat Seksyen 17A Akta SPRM 2009, Pelan Antirasuah Organisasi (OACP), Ikrar Bebas Rasuah (IBR), perisytiharan aset, portal perolehan dan pangkalan data pesalah rasuah 'name and shame'.

Antara yang terbabit dalam pembentangan termasuklah Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM serta sesi dialog antara komuniti korporat ekspatriat dan ahli panel dari SPRM yang diketuai Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Datuk Seri Norazlan Mohd Razali, Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Zamri Zainul Abidin dan Pengarah Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan, Nazli Rasyid Sulong.

Sementara itu, Ketua Pematuhan Davita Malaysia, Sumita Menon berkata, penjelasan mengenai pelaksanaan Liabiliti Korporat dalam Seksyen 17A Akta SPRM 2009 penting terutamanya interpretasi sebahagian perkataan dalam akta terbabit.

"Sesi ini memperjelaskan kepada saya mengenai pengurusan kanan dan individu yang dipertanggungjawabkan dan cara SPRM menyiasat perkara itu.

"Selain itu, panel menjelaskan cara seseorang individu itu dituduh dan tahap kebertanggungjawaban atau impak terhadap sesebuah syarikat," katanya yang juga ahli American Malaysian Chamber of Commerce (AMCHAM).

Beliau berkata, dialog itu membuktikan bahawa SPRM mudah didekati, responsif dan jelas dalam memberikan penjelasan yang memudahkan pemahaman.

Dalam pada itu, Presiden Taipei Investors' Association In Malaysia, Lim Kai Min berkata, beliau berbesar hati kerana SPRM mendengar suara ekspatriat dan bersedia membantu mereka berkaitan masalah yang dihadapi.

"Kami juga mahukan lebih maklumat dan sumber yang boleh kami rujuk serta polisi dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh SPRM. Kami mempunyai pasukan audit dalaman syarikat bagi mengaudit prosedur operasi standard dan kami ingin meningkatkan usaha pencegahan rasuah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Disember 2021 @ 9:39 PM