GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Separuh daripada hasil penjualan nombor pendaftaran istimewa kenderaan akan dikembalikan kepada kementerian agar pihaknya dapat melaksanakan pelbagai inisiatif untuk rakyat.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, perkara itu mendapat persetujuan daripada Kementerian Kewangan dan ia akan dimulakan pada tahun depan.

"Kementerian kewangan telah bersetuju apa saja inisiatif kita, penjualan nombor pendaftaran istimewa ini 50 peratus daripada hasil itu akan dikembalikan kepada Kementerian Pengangkutan untuk kita laksanakan pelbagai inisiatif untuk rakyat.

"Umpamanya kita nak tambah bilangan untuk mendapatkan lesen memandu B2. Ramai Ahli Parlimen minta di kawasan mereka supaya ditambah latihan.

"Itu diberi kepada B40, supaya dapat lesen secara percuma. Kita akan tambah tapi peruntukan itu perlu datang daripada hasil penjualan nombor pendaftaran istimewa ini yang kita akan buat dalam kadar segera tahun baru akan datang," katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2024 Peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Pengangkutan di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam perkembangan lain, Loke memaklumkan bahawa tidak ramai rakyat Malaysia berminat untuk menceburi bidang perkapalan walaupun memperoleh pendapatan lumayan.

Menurutnya, ini disebabkan mereka terpaksa meninggalkan keluarga dalam tempoh jangka masa yang panjang.

"Pelaut-pelaut ini sebenarnya pendapatan mereka agak baik atau gaji yang dibayar adalah lebih tinggi daripada pekerjaan lain.

"Tetapi tidak ramai rakyat Malaysia berminat kerana apabila mereka bertugas, mereka kena keluar daripada rumah berbulan.

"Namun begitu, kita mengalu-alukan kalau ada Ahli Parlimen yang ingin menggalakkan warga tempatan untuk menceburi bidang perkapalan ini (atau) menjadi pelaut kita amat mengalu-alukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 November 2023 @ 5:57 PM