GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Seorang Pengerusi Jawatankuasa pusat pemindahan sementara (PPS) di sebuah daerah ditahan kerana disyaki terbabit dalam memperakui borang bantuan bencana banjir yang mengandungi butir matan palsu pada 2022.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, suspek lelaki yang berusia 60-an itu ditahan kira-kira jam 11 pagi semalam ketika hadir memberikan keterangan di pejabat SPRM Kemaman.

Katanya, borang yang dikeluarkan itu adalah berkaitan maklumat ketua isi rumah atas nama anak kandungnya sendiri bagi mendapatkan Bantuan Wang Ihsan (BWI) berjumlah RM1,000 walaupun tidak layak mendapatkan bantuan itu.

"BWI berjumlah RM1,000 adalah inisiatif kerajaan dalam memberi bantuan kepada setiap ketua isi rumah yang terjejas ketika Monsun Timur Laut (MTL) atau lain-lain bencana yang diisytiharkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP)," katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dengan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Bagaimanapun, katanya, suspek dilepaskan dengan jaminan SPRM setelah keterangannya diambil

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 November 2023 @ 2:38 PM