GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP.
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP.
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Bahagian Pembangunan Industri Padi (BPIP), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menafikan dakwaan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengenai kartel yang memonopoli input pertanian dan penipuan alat timbangan khususnya dalam industri padi dan beras negara.

Ketua Pengarah Pengawalan Padi dan Beras, Datuk Azman Mahmood berkata, BPIP menerusi Seksyen Kawalselia Padi Beras (KPB) berkata, pihaknya mengeluarkan 36,492 unit pelbagai lesen dan permit seperti Lesen Borong Beras, Lesen Eksport, Lesen Import, Lesen Kilang Padi, Lesen Membeli Padi, Lesen Beras Runcit, dan Kelulusan Khas Menjual Benih Padi bagi benih padi sah (BPS).

Katanya, jumlah lesen dan permit itu jelas menunjukkan tiada kartel yang dimaksudkan wujud dan mampu memonopoli industri padi dan beras negara sebagaimana yang didakwa.

"Kerajaan melantik 12 syarikat pengeluar bagi mengeluarkan sebanyak 72,000 tan metrik BPS setahun dengan nilai subsidi sebanyak RM75 juta.

"BPS dijual dengan harga siling sebanyak RM35 per 20 kilogram kampit. Penetapan harga siling ini bagi menghapuskan manipulasi orang tengah yang menekan pesawah sebelum ini.

"Permit pengeluaran BPS semasa selama tiga tahun akan tamat pada Disember 2023. Oleh itu, BPIP kini sedang dalam perancangan untuk melaksanakan tawaran secara terbuka kepada mana-mana syarikat yang berkelayakan dan memenuhi pelbagai kriteria ditetapkan bagi tempoh tiga tahun seterusnya," katanya.

Terdahulu tular di media sosial dakwaan Muhammad Sanusi mengenai wujudnya kartel yang mengawal input pertanian, timbangan padi di kilang dan jentera.

Azman berkata, Muhammad Sanusi sepatutnya tahu mengenai sistem serta akta sedia ada dan memaklumkan kepada KPB, bukannya membuat dakwaan seperti itu.

"Ini bukan kali pertama beliau mendakwa sebegini. Kita bersedia memberi apa juga jawapan yang diinginkan, ada saluran yang betul, kita akan jawab," katanya.

Dalam pada itu, Azman berkata, kerajaan juga melantik 12 syarikat BPS dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) bagi tujuan pemborongan BPS.

Katanya, sebagai pelengkap jaringan pemasaran BPS, sebanyak 522 pengedar dilantik menerusi permit Kelulusan Khas Menjual Benih Padi bagi tujuan pengawalan dan penguatkuasaan.

Beliau berkata, bagi menjamin kualiti BPS, agensi berkaitan seperti Jabatan Pertanian memantau rapi pengeluarannya menerusi pelaksanaan 13 prosedur Skim Pengesahan Benih Padi (SAP) yang ketat.

Katanya, pemantauan dilaksanakan daripada peringkat ladang sehingga ke penghasilan BPS di seluruh negara.

"Dalam isu penipuan alat timbangan, KPB Kedah bersama wakil Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengadakan beberapa siri serbuan di Kedah sejak 2022 bagi memeriksa alat timbangan yang digunakan oleh pemain industri padi dan beras.

"Hasil serbuan mendapati dakwaan penipuan itu tidak berasas sama sekali berikutan sukatan alat timbangan terbabit berada dalam keadaan baik dan sempurna," katanya.

Selain itu, Azman berkata, BPIP menerusi KPB akan memperkenalkan sistem pelesenan jentera pertanian terutamanya dalam industri padi dan beras menerusi prosedur perundangan.

Katanya, pengenalan ini akan memastikan pelbagai masalah yang berlaku di lapangan seperti hasil lepas tuai yang tinggi, pergerakan jentera yang merosakkan jalan awam, dan sebagainya akan dapat dikawal dan dibanteras.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Jun 2023 @ 7:02 PM