Mohammad Nazrul dipenjara 11 bulan manakala Intan Nurhuda dihantar ke penjara kerana gagal bayar ikat jamin. FOTO Alias Abd Rani
Mohammad Nazrul dipenjara 11 bulan manakala Intan Nurhuda dihantar ke penjara kerana gagal bayar ikat jamin. FOTO Alias Abd Rani
Alias Abd Rani


Muar: Seorang mekanik dipenjara 11 bulan atas tiga pertuduhan termasuk memandu melawan arus hingga merempuh tiga kenderaan manakala teman wanitanya 'dihantar' ke penjara selepas gagal membayar ikat jamin berkaitan kes dadah.

Tertuduh, Mohammad Nazrul Hazrey Mohd Hassan, 24, dan Intan Nurhuda Azman, 27, dihadapkan di Mahkamah Majistret hari ini, masing-masing atas tiga dan satu pertuduhan dengan kedua-duanya mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Fatin Dalilah Khalid.

Mohammad Nazrul didakwa atas pertuduhan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (Akta 333/87) kerana memandu melawan arus hingga membahayakan pengguna jalan raya.

Kejadian berlaku di Jalan Maharani, di sini, jam 2.30 pagi, 11 November lalu dan dia boleh dipenjara sehingga lima tahun dan denda RM15,000, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, dia didakwa menghalang anggota polis menjalankan tugas dengan kejadian berlaku di hadapan sebuah hotel di Jalan Bentayan dan Jalan Salleh, pada jam 2 pagi pada tarikh sama.

Tertuduh boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Manakala bagi pertuduhan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Bahaya 1952, dia dituduh bersama-sama teman wanitanya kerana memiliki dadah.

Mengikut fakta kes, Mohammad Nazrul yang memandu Honda Civic didakwa cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis sebelum memandu dalam keadaan merbahaya, termasuk melawan arus.

Bagaimanapun, kedua-duanya dapat ditahan sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar untuk tindakan lanjut.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Arif Marzuki manakala kedua-dua tertuduh diwakili Nor Hafizah Abdullah daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YGBK).

Mahkamah kemudian menjatuhi hukuman penjara enam bulan bagi kesalahan mengikut Seksyen 186, lima bulan untuk Seksyen 42 (1) manakala Seksyen 12 (2), kedua-duanya diikat jamin RM3,000 setiap seorang, namun gagal membayarnya.

Semua hukuman penjara yang dikenakan terhadap Mohammad Nazrul dijalankan berasingan.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 November 2023 @ 3:15 PM