AH Mat Kafe turut menawarkan menu lempeng kelapa selain mi kari kuah laksa.
AH Mat Kafe turut menawarkan menu lempeng kelapa selain mi kari kuah laksa.

Ipoh: "Pak Jabit, nak mi kari...kuah laksa," dialog watak Yah Kuchai dalam filem Kampung Pisang Bersiri arahan Allahyarham Mohamad Mohd Khalid atau Mamat Khalid, mungkin masih diingati peminat filem negara ini.

Keenakan Mi Kari Kuah Laksa yang sebelum ini hanya wujud dalam filem itu, kini boleh dirasai di Ah Mat Kafe, kafe yang diusahakan Nor Sara Mohamad, 32, anak kedua Allahyarham Mamat Khalid.

Nor Sara berkata, idea memasukkan menu Mi Kari Kuah Laksa itu tercetus, apabila dia mahu peminat turut merasai menu dicetuskan arwah bapa dalam skrip filem itu.

"Ada cerita di sebalik menu Mi Kari Kuah Laksa ini, papa kata ia makanan biasa yang dipesan di kantin ketika tahun 70an dahulu. Zaman ketika di kantin, papa kata anak-anak sekolah pesan mi kuning yang biasa dimakan dengan kuah kari, tapi diganti kuah asam laksa," katanya ketika ditemui di kedainya di Jalan Che Tak di sini.

AH Mat kafe terletak  di Jalan Che Tak, Ipoh.
AH Mat kafe terletak di Jalan Che Tak, Ipoh.

Nor Sara berkata, kafe yang diusahakan sejak Jun lalu itu antara idea arwah bapa yang pada mulanya mahu membuka cawangan kedua kafe Sarang Art Hub seperti di Tanjung Malim.

Beliau berkata, perkara itu bagi memudahkan pengunjung di Ipoh merasai suasana seperti di kafe di Tanjung Malim.

"Selepas papa meninggal dunia saya teruskan idea ini secara kecil-kecilan kerana kekangan tenaga pekerja," katanya yang turut menjual menu istimewa seperti lempeng kelapa, lontong darat dan nasi lemak ayam rendang.

Nor Sara berkata, kafe diusahakan bersama suami, Amirul Ariff Abdul Wahab, 35, itu mengambil nama sempena nama anak sulung mereka Mohamad Ehsan Khalid Amirul Ariff, yang berusia setahun setengah.

Bercerita mengenai menu Mi Kari Kuah Laksa di kafenya, menu dijual dengan harga RM8.50 semangkuk itu, mengekalkan resepi ibu yang gemar memasak laksa yang menjadi kegemaran arwah bapa.

DEKORASI Ah Mat kafe  berkonsep vintaj dan dihiasi  poster filem lama termasuk filem arahan Mamat Khalid.
DEKORASI Ah Mat kafe berkonsep vintaj dan dihiasi poster filem lama termasuk filem arahan Mamat Khalid.

Menu itu ialah mi kuning dicurah kuah asam laksa utara, serta hirisan nenas, bebola ikan, telur rebus, salad dan perahan limau.

Dekorasi di kafe pula berkonsep vintaj dan dihiasi poster filem lama termasuk filem arahan Mamat Khalid, gambar serta barang tinggalan Allahyarham.

Pengunjung juga ditemani lagu Melayu nostalgia dari zaman 70an sehingga 90an yang menggamit kenangan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 November 2023 @ 6:15 AM