Anggota APM membuat tinjauan di Kampung Ulu Kenderong, Gerik yang dilanda banjir malam tadi. FOTO IHSAN APM
Anggota APM membuat tinjauan di Kampung Ulu Kenderong, Gerik yang dilanda banjir malam tadi. FOTO IHSAN APM
Muhamad Lokman Khairi


Teluk Intan: Mangsa banjir di Perak pagi ini mencatatkan peningkatan apabila seramai 269 orang daripada 80 keluarga dipindahkan ke tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) di empat daerah.

Ia berbanding 227 orang daripada 66 keluarga yang direkodkan jam 8 malam tadi di empat PPS di dua daerah.

Laporan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Perak setakat jam 8 pagi menunjukkan, tiga PPS baharu dibuka masing-masing dua di daerah Kinta dan satu di Hulu Perak susulan hujan lebat berterusan lewat petang semalam.

Di Kinta, PPS Dewan Orang Ramai Kampung Sri Kinta dibuka jam 8.30 malam tadi bagi menempatkan seramai 19 mangsa (enam keluarga) dari Kampung Sri Kinta.

Turut dibuka PPS Dewan Orang Ramai Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) Taman Meru Ipoh mula beroperasi jam 8 malam tadi dengan sejumlah empat mangsa (dua keluarga).

Di Hulu Perak, PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gerik dibuka jam 8 malam tadi bagi memberi perlindungan kepada 24 orang (lapan keluarga) susulan banjir di Kampung Kolam Air, Kampung Bendang Kerajaan, Kampung Tanjung Kala, Kampung Ulu Kenderong, Kampung Padang Kunyit, Kampung Padang dan Kampung Ramasamy.

Berdasarkan laporan itu lagi, Hilir Perak masih menjadi daerah paling terjejas dengan 142 mangsa (41 keluarga) di dua PPS, diikuti Kerian yang merekodkan 80 orang (23 keluarga) di dua PPS.

Dalam pada itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak melaporkan paras air Sungai Bidor di Changkat Jong dekat sini mencecah 3.81 meter (m), melepasi paras bahaya 3.50m.

Sungai Kinta di Weir Tanjung Tualang pula berada pada paras amaran apabila merekodkan bacaan 14.08m (paras amaran bagi Sungai Kinta, 13.75m).

Sementara itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak turut melaporkan penutupan jalan persekutuan di beberapa daerah berikutan situasi banjir semasa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 November 2023 @ 9:04 AM