ANWAR tiba di Musolla Asy-Syafi di Hospital Sultan Idris Shah yang dulu dikenali Hospital Serdang bagi menunaikan solat Jumaat, hari ini. FOTO Sadiq Sani
ANWAR tiba di Musolla Asy-Syafi di Hospital Sultan Idris Shah yang dulu dikenali Hospital Serdang bagi menunaikan solat Jumaat, hari ini. FOTO Sadiq Sani
BERNAMA

Serdang: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menunaikan solat Jumaat di Musolla Asy Syafi, Kuarters Hospital Sultan Idris Shah di sini.

Ketibaan Anwar yang juga Menteri Kewangan jam 1.05 tengah hari itu disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dan Pengarah Kesihatan Negeri Selangor Datuk Dr Sha'ari Ngadiman.

Anwar bersama jemaah kemudian mendengar khutbah bertajuk "Memelihara Kesucian Al-Quran Tanggungjawab Bersama" yang disampaikan Pegawai Tadbir Agama Pejabat Agama Islam Daerah Sepang Mohamad Nazri Sobirin.

Isi khutbah yang disediakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) itu antara lain mengajak umat Islam untuk mendalami ajaran al-Quran dan mengamalkan isi kandungan kitab suci itu supaya dapat hidup bersatu padu serta mengelak perpecahan.

Umat Islam turut digalakkan untuk berdoa dalam setiap waktu solat agar Allah SWT mengurniakan keamanan serta kesejahteraan kepada rakyat Palestin.

Kira-kira 500 jemaah bersama Anwar menunaikan solat Jumaat, yang julung kali dibuat di surau berkenaan yang diimamkan oleh Imam Masjid Raja Haji Fi Sabilillah, Cyberjaya Muhammad Ali Mohd Yunus.

Usai solat Jumaat, Perdana Menteri bersama jemaah turut mengaminkan Qunut Nazilah bagi mendoakan kesejahteraan dan keselamatan umat Islam di Palestin.

Anwar turut meluangkan masa menjamu selera di pekarangan surau dan beramah mesra dengan jemaah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 November 2023 @ 2:55 PM