PROF Dr Samsul Draman (tengah) ketika majlis pelancaran Rimba Ilmu UIAM Kuantan. FOTO Asrol Awang
PROF Dr Samsul Draman (tengah) ketika majlis pelancaran Rimba Ilmu UIAM Kuantan. FOTO Asrol Awang
Asrol Awang


Kuantan: Kewujudan Rimba Ilmu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Kuantan diharap membantu dalam menyampaikan maklumat berkaitan hutan terutama spesies pokok dan herba.

Timbalan Pengarah UIAM Kuantan, Prof Dr Samsul Draman berkata, ini kerana masih ramai yang tidak mengenali spesies pokok dalam hutan terutama di kalangan generasi muda.

Katanya, dengan kewujudan Rimba Ilmu itu diharap memberikan pengalaman baharu terutama dalam bidang penyelidikan.

"Setakat ini, lebih 84 spesis pokok hutan dan herba sudah dikenal pasti di kawasan seluas kira-kira dua hektar ini.

"Idea kewujudan Rimba Ilmu UIAM Kuantan ini tercetus oleh Kuliah Farmasi pada 2019 dan ia akhirnya menjadi kenyataan.

"Kedudukannya di tengah dan dikelilingi bangunan UIAM Kuantan ini menambah lagi keunikan dengan kewujudannya," katanya selepas melancarkan Rimba Ilmu UIAM Kuantan, di sini, hari ini.

Rimba Ilmu itu ialah projek pemuliharaan hutan yang dilaksanakan Kuliah Farmasi yang diketuai Dekan Kuliah Farmasi UIAM Kuantan, Prof Madya Dr Juliana Md Jaffri.

Beliau berkata, pelaksanannya bermula dengan pengecaman tumbuhan dengan tepat dan memberikan nama saintifik dan tempatan.

"Harapan kami ialah untuk memberikan peluang dan mengembangkan aktiviti kepada komuniti luar.

"Dengan adanya Rimba Ilmu ini, mereka terutama pelajar tidak perlu pergi jauh untuk melihat lebih dekat pelbagai spesis pokok hutan serta herba termasuk rotan dan palas yang ada di sini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 November 2023 @ 3:19 PM