MAHADI Badrul Zaman. FOTO arkib NSTP
MAHADI Badrul Zaman. FOTO arkib NSTP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Syarikat milik usahawan, Mahadi Badrul Zaman, 40, tidak mempunyai lesen atau berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) untuk menjalankan sebarang aktiviti terkawal.

SC dalam kenyataan kepada Harian Metro memaklumkan, syarikat AUF MBZ Consortium PLT didapati menjalankan urusan perniagaan dalam aktiviti terkawal dengan mempromosi saham syarikat awam tidak tersenarai (unlisted public company atau UPC) tanpa memegang lesen daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

"Susulan itu nama dan syarikat berkenaan dimasukkan dalam senarai peringatan pelabur untuk mengenal pasti sama ada individu dan entiti berlesen atau berdaftar untuk menawarkan, mempromosikan, atau menjual produk dan perkhidmatan pasaran modal di Malaysia.

"SC juga menerima beberapa pertanyaan dan aduan daripada pihak awam berhubung aktiviti yang dijalankan oleh pemilik syarikat, Mahadi Badrul Zaman dan AUF MBZ Consortium PLT," katanya.

Menurutnya, SC mengambil serius semua aduan yang dikemukakan dan kekal komited dalam melaksanakan kuasa berkanunnya termasuk mengambil tindakan penguatkuasaan sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang sekuriti dalam menegakkan integriti pasaran modal termasuk menjaga kepentingan pelabur.

"SC juga sudah mengadakan pertemuan dengan individu berkenaan dan sudah memberikan maklum balas yang sewajarnya termasuk memaklumkan bahawa aktiviti yang dijalankan adalah aktiviti terkawal yang memerlukan lesen daripada SC.

"Orang ramai boleh menggunakan portal Semak Sebelum Labur SC (Investment

Checker) yang tersedia di https://www.sc.com.my/investment-checker untuk mengesahkan sama ada individu atau entiti diberi kuasa oleh SC untuk menawarkan, mempromosikan, atau menjual produk dan perkhidmatan pasaran modal di Malaysia," katanya.

Sebelum ini, syarikat milik suami kepada selebriti Heliza Helmi itu dimasukkan dalam senarai amaran pelaburan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Berdasarkan laman web Investor Alert List, nama ahli perniagaan terbabit dan syarikatnya AUF MBZ Consortium Plt berada dalam senarai teratas.

Laman itu mengemas kini senarai aktiviti pelaburan secara tidak sah sama ada melalui entiti mahupun individu.

Berita berkaitan:

Mahadi BZ sedia kerjasama, kemuka permohonan bertulis pada SC

Mahadi BZ dalam senarai amaran Suruhanjaya Sekuriti, pelaburan tidak sah

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Februari 2024 @ 12:33 PM