GAMBAR Hiasan
GAMBAR Hiasan
Juwan Riduan


Keningau: Polis menyelamatkan tiga wanita termasuk kanak-kanak berusia 12 tahun yang disyaki menjadi mangsa pemerdagangan manusia dan eksploitasi seks susulan penahanan tiga lelaki dalam dua serbuan berasingan, kelmarin.

Serbuan dilakukan bermula 8.11 malam pada 2 Oktober sehingga 12.30 tengah malam oleh Jabatan Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau.

Ketua Polis Daerah Keningau Superintendan Yampil Anak Garai berkata, pasukan serbuan menjalankan Op Pintas di sekitar daerah ini dan mengesan aktiviti pemerdagangan orang dan eksploitasi seks.

Katanya, serbuan pertama yang dijalankan di sebuah inap desa di daerah ini berjaya menyelamatkan dua wanita berusia 30 dan 12 tahun.

"Ketika serbuan itu juga, polis turut menahan dua lelaki berusia 44 dan 15 tahun termasuk berperanan sebagai runner dan transporter.

"Seterusnya, serbuan kedua dilakukan di sebuah hotel di Jalan Lintas Plaza, Kota Kinabalu dan menyelamatkan seorang lagi wanita berusia 19 tahun dan pasukan serbuan turut menahan seorang lagi suspek lelaki berusia 23 tahun," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Yampil berkata, hasil siasatan mendapati seorang daripada tiga suspek berperanan sebagai runner dan transporter untuk menghantar mangsa sekiranya ada pelanggan yang ingin melanggan mangsa di kawasan berhampiran.

"Dua lagi suspek pula berperanan untuk mencari pelanggan kepada mangsa melalui aplikasi MiChat," katanya.

Katanya, semua suspek direman selama lima hingga tujuh hari mengikut Seksyen 12/14 Akta Anti Pemerdagangan Manusia (ATIPSOM) 2007.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 November 2023 @ 1:01 AM