Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Kuala Lumpur: Kerajaan tidak akan memenjarakan mana-mana pemilik kenderaan atas kesalahan menggunakan cermin gelap, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Menurutnya, ketika menjawat jawatan sama dalam Kabinet pada 2019, beliau 'memudahkan' orang ramai untuk menggunakan cermin gelap.

"Tidak timbul soal bahawa kalau salah guna cermin gelap itu akan dipenjarakan.

"Saya harap penjelasan ini dapat meleraikan atau memberikan satu penerangan kepada orang ramai bahawa tidaklah sampai kerajaan nak memenjarakan orang sekiranya menggunakan cermin gelap," katanya sewaktu penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 Peringkat Dasar di Dewan Rakyat. hari ini.

GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.

Beliau berkata demikian meleraikan kekeliruan pengguna media sosial berhubung kenyataan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), yang sesetengahnya menggambarkan seolah-olah individu yang melakukan kesalahan tersebut boleh dihukum penjara.

Mengulas lanjut, Loke berkata, pemilik kenderaan yang melanggar peraturan cermin gelap akan dikenakan kompaun terlebih dahulu.

"Apabila mereka diberikan peluang untuk kompaun, mereka tidak bayar kompaun, maka boleh dibawa ke mahkamah.

"Itu merupakan satu peraturan general (umum) yang boleh dikenakan sehingga denda termasuk tidak melebihi RM2,000 atau penjara enam bulan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 November 2023 @ 4:01 PM