PENDAKI negara yang menawan Gunung Mera Peak di Nepal dan membawa misi doa untuk rakyat Palestin.
PENDAKI negara yang menawan Gunung Mera Peak di Nepal dan membawa misi doa untuk rakyat Palestin.
Wartawan HM

Kuala Lumpur: Tiga pendaki negara termasuk bekas jurugambar The New Straits Times Press (NSTP) Abdul Rahim Rahmat berjaya menawan Gunung Mera Peak, Nepal yang berketinggian 6,476 meter dari paras laut (mdpl).

Turut mencatat nama ialah ketua ekspedisi yang juga Pendaki Everest Negara, Zainudin Lot, 46, dan Pegawai Kanan II Bomba, Mohd Fakrul Munir Mohd Isa, 41.

Mereka berjaya tiba di puncak pada 11.30 pagi (waktu tempatan) selepas mendaki selama sembilan jam dari High Camp, kelmarin.

Lebih manis, pendakian kali ini membawa misi doa untuk rakyat Palestin yang dizalimi oleh rejim Zionis.

Zainudin berkata, mereka bersyukur berjaya menawan puncak gunung itu selepas menempuh pelbagai halangan dan cabaran.

"Gunung Mera Peak adalah antara gunung yang sangat popular dalam kalangan pendaki di seluruh dunia kerana cuaca yang sangat ekstrim dan bentuk muka bumi yang sukar.

"Alhamdulillah selepas sembilan jam mendaki, kami berjaya mencapai misi menawan puncak, namun kejayaan sebenar apabila berjaya mengeluarkan tiga daripada 10 pendaki daripada zon maut selepas mengalami masalah sakit akut gunung (AMS) di ketinggian lebih 6000 mdpl," katanya.

Seramai 10 pendaki profesional memulakan pendakian dari Lukla pada 25 Oktober dan akan berakhir pada 5 November ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 November 2023 @ 3:39 PM