MOHD Shobri. FOTO Ihsan Mohd Shobri Ahmad
MOHD Shobri. FOTO Ihsan Mohd Shobri Ahmad
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Seramai 10 pendaki negara yang menyertai Ekspedisi Gunung Mera Peak, Nepal terkandas di Lukla, berikutan gempa bumi berukuran 5.6 magnitud yang melanda kawasan terpencil di negara itu.

Ketua ekspedisi yang juga Mohd Shobri Ahmad, 50, berkata dia bersama rakan pendaki kini berada di lapangan terbang Lukla.

Menurutnya, mereka dijadualkan menaiki penerbangan pulang ke Kathmandu pada esok, namun berusaha untuk mengambil penerbangan pada hari ini kerana bimbang berlaku gempa susulan.

"Kebanyakan pendaki berasa cemas sekiranya berlaku gempa susulan. Walaupun kejadian itu berlaku jauh dari kawasan Lukla, tapi kami sedikit bimbang akan turut menjejaskan keadaan di sini.

"Kami berdoa supaya dapat segera keluar dari Lukla dan kembali ke Kathmandu sebelum dijadualkan menaiki penerbangan pulang ke Malaysia pada 7 November ini," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Pada 1 November lalu, Mohd Shobri bersama tiga pendaki negara termasuk bekas jurugambar The New Straits Times Press (NSTP) Abdul Rahim Rahmat berjaya menawan Gunung Mera Peak, Nepal yang berketinggian 6,476 meter dari paras laut (mdpl).

Mereka berjaya tiba di puncak pada 11.30 pagi (waktu tempatan) selepas mendaki selama sembilan jam dari High Camp.

Seramai 10 pendaki profesional memulakan pendakian dari Lukla pada 25 Oktober lalu.

Harian Metro hari ini melaporkan lebih 100 mangsa terkorban akibat gempa bumi berukuran 5.6 magnitud yang melanda sebuah kawasan terpencil di Nepal.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 November 2023 @ 6:17 PM