PENDAKI negara yang menawan Gunung Mera Peak di Nepal, 1 November lalu. FOTO Ihsan pendaki Ekspedisi Gunung Mera Peak
PENDAKI negara yang menawan Gunung Mera Peak di Nepal, 1 November lalu. FOTO Ihsan pendaki Ekspedisi Gunung Mera Peak
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Kumpulan pendaki negara yang menyertai Ekspedisi Gunung Mera Peak, Nepal, selamat tiba di Kathmandu, petang tadi waktu tempatan.

Wakil pendaki Mohd Shobri Ahmad, 50, berkata, mereka berjaya keluar dari Lukla dengan menaiki penerbangan ke Ramechapp.

"Alhamdulillah kesemua pendaki selamat keluar dari Lukla. Penerbangan dari Lukla ke Ramechapp mengambil masa kira-kira 20 minit.

"Sebaik tiba di Ramechapp, kami meneruskan perjalanan untuk ke Kathmandu dengan menaiki kenderaan darat yang mengambil masa kira-kira empat jam," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Beliau berharap perjalanan pulang ke tanah air berjalan lancar seperti yang dijadualkan pada 7 November ini.

Terdahulu, seramai 10 pendaki negara yang menyertai ekspedisi itu dilaporkan terkandas di Lukla, berikutan gempa bumi berukuran 5.6 magnitud yang melanda sebuah kawasan terpencil di Nepal.

Pada 1 November lalu, tiga pendaki negara termasuk bekas jurugambar The New Straits Times Press (NSTP) Abdul Rahim Rahmat berjaya menawan Gunung Mera Peak berketinggian 6,476 meter dari paras laut (mdpl).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 November 2023 @ 12:07 AM