Suraya Roslan

Ampang: Seorang pembantu klinik di Singapura didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tuduhan membuat hantaran jelik untuk membunuh Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin, tiga tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Tai Zee Zing, 31, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya iaitu 'Can hired killer to kill new prime minister' (Boleh Mengupah Pembunuh Untuk Bunuh Perdana Menteri Baharu?) di profil Facebook 'Penny Tai', dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Balai Polis Ampang di sini, pada jam 12.35 tengah hari, 1 Mac 2020, mengikut Seksyen 233 (1)(a)(ii) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari atau sebahagian daripada sehari kesalahan diteruskan selepas sabitan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Hakim Amir Abdul Hamid memohon jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Tai Zee Zing didakwa atas tuduhan membuat hantaran jelik untuk membunuh Muhyiddin Yassin tiga tahun lalu di Mahkamah Sesyen Ampang. FOTO FATHIL ASRI
Tai Zee Zing didakwa atas tuduhan membuat hantaran jelik untuk membunuh Muhyiddin Yassin tiga tahun lalu di Mahkamah Sesyen Ampang. FOTO FATHIL ASRI

Bagaimanapun, peguam, Rajsurian Pillai yang mewakili wanita itu membantah syarat tambahan itu berikutan anak guamnya sedang melanjutkan pengajian di Singapura dalam jurusan Diploma Pengurusan Perniagaan.

"Saya memohon jaminan rendah kerana anak guam saya yang masih bujang dan berpendapatan RM3,000 sebulan itu perlu menanggung ibu bapanya.

"Jaminan ditawarkan pendakwaan terlalu tinggi dan sepanjang siasatan, anak guam saya memberikan kerjasama yang baik.

"Mahkamah perlu mengambil kira kehadiran anak guam saya hari ini memandangkan kes ini sudah lama iaitu 2020," katanya.

Mendengar hujah kedua-dua pihak, Wan Norisham membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan tidak mengenakan syarat tambahan itu memandangkan tertuduh sedang melanjutkan pelajaran di Singapura.

Mahkamah juga menetapkan 20 Disember ini untuk sebutan kes.

Untuk rekod, Tan Sri Muhyiddin Yassin secara rasmi diangkat menjadi Perdana Menteri kelapan pada 1 Mac 2020.

Beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 November 2023 @ 3:35 PM