BOMBA segera melakukan kerja menyelamat sejurus dimaklum kejadian pokok tumbang menghempap kereta dipandu warga emas. FOTO Ihsan Bomba.
BOMBA segera melakukan kerja menyelamat sejurus dimaklum kejadian pokok tumbang menghempap kereta dipandu warga emas. FOTO Ihsan Bomba.
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Lelaki warga emas maut selepas kereta dipandunya dihempap pokok tumbang di Jalan Bukit Payong, Kampung Bukit Payong, hari ini.

Mangsa dikenali Ooi Boon Khak, 74, ditemui tidak sedarkan diri di dalam kereta itu.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pokok Sena, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Shahrin Musa berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 3.20 petang.

"Sepasukan pegawai dan anggota bergegas ke lokasi untuk melakukan tugas penyelamatan dan sebaik tiba, komander operasi melaporkan pokok tumbang menghempap kereta jenis Hyundai, dengan seorang lelaki terperangkap di dalamnya.

"Warga emas itu disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Shahrin berkata, pihaknya menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa dan turut dibantu jentolak.

Katanya, mayat kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

"Kerja pemotongan pokok tumbang menggunakan gergaji berantai dilaksana dan operasi tamat pada 5 petang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Oktober 2023 @ 8:55 PM