MAHB masih memiliki pajakan selama 60 tahun ke atas tanah tempat terletaknya LTSAAS.
MAHB masih memiliki pajakan selama 60 tahun ke atas tanah tempat terletaknya LTSAAS.
Mohd Zaky Zainuddin

Subang: Kerajaan menegaskan tiada bercadang untuk menjual atau menswastakan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) kepada entiti swasta memandangkan ia adalah aset strategik negara yang perlu dipelihara.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, sehingga kini Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) masih sebagai pengendali LTSAAS dan sebarang cadangan pengambilalihan atau penswastaan kepada pihak lain tidak berlaku.

"Ada berpendapat LTSAAS wajar diswastakan dan sudah tentu ada desakan atau permintaan untuk menjadikan lapangan terbang ini lebih maju.

"Justeru, saya ingin tegaskan LTSAAS tidak akan dijual jauh lagi diswastakan kerana ia adalah aset strategik kerajaan. Namun, terpulang kepada MAHB bagaimana nak bangunkan atau bekerjasama dengan syarikat mana yang layak.

"MAHB dan kerajaan akan tentukan sekiranya ada cadangan konkrit untuk naik taraf LTSAAS ini," katanya selepas pelancaran penerbangan sulung, syarikat penerbangan komersial terbaharu Malaysia, SKS Airways dari LTSAAS ke Pulau Pangkor di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah SKS Airways, Datuk Rohman Ahmad.

Ka Siong berkata, berdasarkan Perjanjian Operasi (OA) antara kerajaan dan MAHB, pengendali lapangan terbang itu diberikan hak untuk memajukan LTSAAS menjadi hab di mana ia dapat memenuhi keperluan semasa sektor penerbangan.

"Saya ada berjumpa dengan Menteri Besar Selangor (Datuk Seri Amirudin Shari) dan kami ada membincangkan tentang usaha untuk hidupkan segmen penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih pesawat (MRO) di Subang.

"Kita perlu lihat dalam konteks perancangan rapi oleh MAHB, Kementerian Kewangan dan kerajaan negeri. Semuanya akan dilihat dan diteliti. Kementerian Pengangkutan serah kepada pengurusan MAHB, tetapi apa yang penting adalah kepentingan negara perlu dilihat yang paling utama," katanya.

Pada 2019, jumlah pergerakan penumpang di lapangan terbang di Malaysia direkodkan kepda 109.5 juta sebelum ia susut mendadak kepada 35.5 juta pada 2020.

Mei tahun lalu, media melaporkan ahli perniagaan, Tan Sri Desmond Lim dikatakan merancang untuk mengambil alih LTSAAS membabitkan nilai RM3.7 bilion.

Media melaporkan Lim yang juga pemegang saham terbesar dalam syarikat hartanah dan pembinaan, WCT Holdings Bhd akan menggunakan anak syarikatnya, Subang Skypark Sdn Bhd (SSSB) untuk mengambil alih dan mengendalikan lapangan terbang itu sehingga 2092.

Lim mengambil alih 60 peratus pegangan dalam SSBB pada 2018 selepas membeli kepentingan berkenaan daripada Tan Sri Ravindran Menon dan rakan niaganya, Datuk Aisamar Kadil Mydin Syed Marikiah melalui jumlah yang tidak didedahkan, dengan cadangan untuk membangunkan semula tanah di sekitar LTSAAS di Subang.

Sebelum ini, Kementerian Kewangan menegaskan MAHB masih memiliki pajakan selama 60 tahun iaitu sehingga 2067 ke atas tanah di mana terletaknya LTSAAS buat masa ini.

Mengenai prospek sektor penerbangan, Ka Siong berkata, kerajaan menjangkakan jumlah pergerakan penumpang di lapangan terbang di Malaysia berada antara 32.6 juta hingga 49 juta penumpang tahun ini iaitu hampir separuh daripada tempoh sebelum Covid-19.

"Sasaran ini bergantung kepada situasi pandemik di Malaysia. Namun, kita melihat prospek untuk sektor penerbangan kembali berkembang. Ini akan memacu sektor pelancongan Malaysia. Kita perlu galakkan rakyat melancong," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 January 2022 @ 7:00 AM