Noorazura Abdul Rahman


Baling: "Saya menangis sebab terlalu takut ketika diusung keluar dari rumah apabila melihat air terlalu deras tambahan pula pada waktu malam, "kata Badariah Ali Abdullah, 84.

Mangsa banjir dari Kampung Baru, di sini berkata dia bimbang akan terjatuh ke dalam banjir ketika diselamatkan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) malam tadi.

Katanya, dia bersama suaminya Che Noor Man, 85,terpaksa diselamatkan agensi berkenaan selepas rumah mereka dinaiki air hampir satu meter.

"Saya tinggal bersama anak dan cucu, saya tidak dapat berjalan kerana masalah lutut, jadi mereka datang menyelamatkan saya menggunakan pengusung, tak silap saya lapan anggota yang usung saya, manakala suami saya didukung oleh beberapa anggota.

"Sambil menangis saya banyak istighfar dan berdoa semoga saya dan suami selamat, Alhamdulillah kami semua selamat dan dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Siong, di sini," katanya.

Menurut Che Noor, dia dan isteri kembali ke rumahnya pagi ini dan bersyukur anak serta cucu mereka selamat kerana berada di bahagian atas rumah.

Katanya kejadian malam tadi adalah paling teruk pada tahun ini selepas tiga kali rumah mereka dinaiki air.

Seorang lagi mangsa banjir dari kampung yang sama, Mohammad Azarul Azan Mohd Zahari, 29, berkata rumahnya dinaiki air kira-kira jam 9 malam dan ahli keluarganya mula dipindahkan kira-kira jam 10 malam.

"Tahun ini saja sudah empat kali rumah kami dinaiki air, apabila hujan tidak berhenti sejak 3 petang, kami sekeluarga berjaga-berjaga dan memindahkan barang penting ke tempat tinggi.

"Saya tidak berpindah bagi memastikan keadaan rumah selamat, hanya ibu dan adik-adik saya yang berpindah, kira-kira jam 3 pagi air mulai surut," katanya.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Baling, Leftenan (PA) Mohd Faizol Abd Aziz, berkata sehingga jam 12 tengah hari, mangsa banjir yang terjejas masih ditempatkan di tiga buah PPS di Baling termasuk SK Seri Bayu (21 orang) , SK Siong (126 orang) dan SK Parit Panjang (12 orang).

Katanya, hujan yang lebat sejak petang semalam menyebabkan air Sungai Ketil melimpah ke rumah penduduk di lebih 10 buah kampung di Baling.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2023 @ 3:04 PM
BADARIAH ketika menceritakan pengalamannya diselamatkan oleh anggota APM selepas rumahnya di Kampung Baru dinaiki air malam tadi. FOTO Noorazura Abdul Rahman
BADARIAH ketika menceritakan pengalamannya diselamatkan oleh anggota APM selepas rumahnya di Kampung Baru dinaiki air malam tadi. FOTO Noorazura Abdul Rahman