Ahli Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP),  Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman melawat reruai ketika majlis perasmian penutup Karnival Sains, Inovasi dan Teknologi anjuran UTM dan MAIWP di Dewan Tan Sri Ainuddin Wahid, Universiti Teknologi Malaysia. FOTO AZIAH AZMEE
Ahli Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman melawat reruai ketika majlis perasmian penutup Karnival Sains, Inovasi dan Teknologi anjuran UTM dan MAIWP di Dewan Tan Sri Ainuddin Wahid, Universiti Teknologi Malaysia. FOTO AZIAH AZMEE
Suhanna Iskandar dan Nur Elysa Amirah Suhaimi


Kuala Lumpur: Penganjuran Karnival Sains, Inovasi dan Teknologi (SITC) 2023 menjadi medan pembangunan terhadap potensi pelajar dalam ilmu teknologi.

Seramai 450 pelajar dari 35 institusi pendidikan termasuk Universiti Awam (UA), sekolah dan tadika terbabit dalam karnival kerjasama antara Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) kampus Kuala Lumpur.

Lima acara dipertandingkan termasuk Sumo Robot, Seminar STEM, Innothinker, Robotic Workshop dan Robotic Kiddoplus sebagai usaha membuka peluang baru bagi pelajar bersaing secara sihat dalam bidang sains dan teknologi.

Peserta dan juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Mary (M), Lui Bao Zi, 16, dan Puteri Elyana Zaharudin, 16, menjadi juara bagi acara Autonomous Sumo Robot dan membawa pulang wang tunai sebanyak RM 1,500, sijil dan pingat kemenangan.

Sementara itu, guru kelab robotik SMK St. Mary, Mohd Ghazali Mohd Kassim berkata, pertandingan ini menjadi pendedahan awal kepada pelajar seterusnya menimba pengalaman bermakna buat mereka.

"Sejujurnya saya terkejut dengan kemenangan ini kerana kami mengambil masa yang singkat dan tiada latihan rasmi dalam rekaan robot.

"Pemilihan pelajar adalah terbuka kepada mereka yang mahu menyertai dan tiada konsep berat sebelah. Semestinya mereka boleh memberi komitmen yang tinggi dan sokongan daripada ibu bapa mereka juga memainkan peranan dalam kemenangan ini

"SITC menjadi platform kedua kami dalam persediaan ke pertandingan International Youth Robot (IYRC), Indonesia akan datang," katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Strategik MAIWP, Datuk Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, karnival kerjasama bersama UTM adalah untuk menanamkan rasa cinta anak muda dalam ilmu sains dan teknologi.

"Sebanyak hampir RM 40,000 diperuntukkan oleh MAIWP untuk merealisasikan program ini dan mungkin akan ditingkatkan lagi di tahun berikutnya.

"Tahniah juga kepada pihak pengurusan UTM kerana mendedahkan program seperti ini kepada setiap lapisan masyarakat dan sokongan pihak sekolah, pendidikan tinggi dan orang ramai amat membanggakan," katanya.

Abdul Aziz berkata, MAIWP komited dalam membangun modal insan generasi masa hadapan dalam apa jua bentuk komitmen yang diperlukan.

"Usaha dua hala antara MAIWP-UTM yang turut melibatkan anak-anak terutama golongan asnaf diharap dapat mencorakkan sifat kepimpinan dalam diri mereka.

"Ini dapat mencungkil dan memupuk kreativiti mereka dalam menghasilkan projek inovasi berteraskan teknologi," katanya ketika menghadiri Majlis Perasmian Penutupan Karnival Sains, Inovasi dan Teknologi 2023 di Dewan Tan Sri Ainuddin Wahid, UTM Kuala Lumpur.

Karnival SITC 2023 diadakan bermula 23 sehingga 25 Oktober 2023, turut dihadiri oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Mohd Nizam Yahya, ahli MAIWP, Tan Sri Dr. Sulaiman Mahbob dan Ketua Pentadbiran UTM Kuala Lumpur, Mohd Najib Masroom serta Pengarah Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UTM, Dr Aminudin Abu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Oktober 2023 @ 9:05 PM