GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Siti Rohana Idris


Tumpat: Lelaki warga Thailand dicekup polis bersama 12,000 pil kuda yang dianggarkan RM132,000.

Tangkapan dibuat jam 7.30 malam semalam di pengkalan Kuala Tat, Kuala Jambu di sini, oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Tumpat.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ibrahim Husin berkata, suspek dilihat di tepi sebuah wakaf dalam keadaan mencurigakan sebelum tangkapan segera dibuat.

"Berlaku sedikit pergelutan ketika serbuan namun lelaki berusia 27 tahun itu berjaya ditangkap dan hasil pemeriksaan yang dibuat menemui 60 paket plastik dalam beg yang dipegang.

"Paket plastik itu mengandungi 12,000 pil kuda dianggarkan bernilai RM132,000 dan ujian saringan yang dibuat mendapati suspek positif dadah jenis methampethamine," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ibrahim berkata, suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 31 Oktober untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Oktober 2023 @ 6:18 PM