GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Seorang Ahli Parlimen akan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini esok atas pertuduhan pengubahan wang haram.

Beliau akan didakwa mengikut Seksyen 4 (1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001(Akta 613).

Menurut sumber, bekas Ketua Penerangan sebuah parti politik itu dipercayai bakal berdepan dengan lebih 15 pertuduhan dengan nilai wang pengubahan wang haram berjumlah kira-kira RM6 juta.

"Ahli Parlimen ini sudah dipanggil ke Ibu Pejabat SPRM Putrajaya hari ini untuk diambil keterangan sebelum dituduh esok," katanya.

Sumber itu berkata, selain Ahli Parlimen terbabit, seorang Timbalan Ketua Bahagian parti politik sama juga akan dituduh atas kesalahan mengikut seksyen sama membabitkan nilai wang berjumlah kira-kira RM500,000 di mahkamah sama.

"Individu sama juga akan dituduh di Mahkamah Sesyen Shah Alam lusa bagi menghadapi beberapa pertuduhan dengan nilai lebih RM3 jutadengan kesemua pertuduhan adalah mengikut seksyen sama," katanya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan perkara itu namun enggan mengulas lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Oktober 2023 @ 9:18 PM