Iskandar Turkee (tengah) bergambar bersama calon Parti Bumi Kenyalang (PBK), Stevenson Sumbang (kanan) dan calon Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (SAPA), Chieng Lea Phing ketika proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.67 Jepak di Pusat Penamaan Calon, Dewan Suarah Bintulu hari ini. FOTO BERNAMA

Mohd Roji Kawi

Bintulu: Gabungan Parti Sarawak (GPS) berdepan saingan tiga penjuru pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak, 4 November ini.

GPS yang mencalonkan Iskandar Turkee, 54, akan ditentang calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) Stevenson Joseph Sumbang, 42, dan calon Parti Aspirasi Rakyat (ASPIRASI), Chieng Lea Phing, 62.

Pengumuman itu dibuat Pegawai Pengurus PRK DUN Jepak, Abang Zainuddin Abang Turkey di Pusat Penamaan Calon di Dewan Suarah Bintulu pada jam 10.30 pagi ini.

PRK DUN Jepak diadakan selepas penyandang kerusi itu Datuk Talib Zulpilip, 72, meninggal dunia akibat komplikasi buah pinggang, 13 September lalu.

Pada Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN-12) yang diadakan pada 18 Disember 2021, Allahyarham Talib memperolehi 6,277 undi mengatasi calon Parti Sarawak Bersatu (PSB), Raba'ah Tudin (2,034), calon Parti Bumi Kenyalang (PBK), Stevenson Joseph Sumbang (587) dan calon Bebas, Tuah Kazan (141).

Berdasarkan rekod, DUN Jepak mula dijadikan kawasan DUN pada 1996 dan mula dipertandingkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak pada tahun yang sama.

Sejak itu, DUN Jepak diwakili oleh Talib dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) hinggalah PRN terakhir pada 2021.

Calon GPS-PBB, Iskandar yang juga anak jati Jepak adalah bekas Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Sarawak.

DUN Jepak mempunyai seramai 22,804 dengan majoriti pengundi adalah Melayu/Melanau.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Oktober 2023 @ 1:19 PM