TIMBALAN Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. FOTO BERNAMA
TIMBALAN Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Putrajaya: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi malam ini memberikan bayangan bahawa beliau dijangka kekal di Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang diterajuinya kini.

Ketika berucap pada Majlis Penutup Kejohanan Sukan Majlis Kebajikan dan Sukan KKDW (MAKSPEN) XIV di sini hari ini, Ahmad Zahid berkata ini kerana tidak ada perbincangan diadakan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai pertukaran portfolio.

"...tapi saya rasa tidak ada pertukaran kementerian kerana PM (Anwar) tidak pernah bincang pun dengan saya," katanya.

Desas-desus mengenai rombakan Kabinet antaranya melibatkan Ahmad Zahid yang kini memegang portfolio Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah yang dikatakan akan bertukar ke Kementerian Dalam Negeri.

Ahmad Zahid pada 3 Oktober lalu dilaporkan meminta semua pihak tidak membuat spekulasi berhubung rombakan Kabinet kerana ia hak prerogatif Anwar.

Sementara itu, Ahmad Zahid mahu kejohanan MAKSPEN yang berlangsung setiap dua tahun ketika ini, diadakan lagi pada tahun hadapan.

"Kali terakhir kita adakan sukan ini ialah pada 2015 dan selepas itu tiada lagi. Dengan ini saya arahkan tahun depan wajib diadakan semula," katanya disambut sorakan dan tepukan gemuruh peserta kejohanan.

Beliau turut mencadangkan Hari Keluarga KKDW diadakan sempena MAKSPEN 2024.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Oktober 2023 @ 10:37 PM