Alias Abd Rani


Muar: Bekas ketua kampung menitiskan air mata apabila Mahkamah Majistret di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara 15 bulan serta lapan sebatan selepas mengaku bersalah menggunakan nama Baitulmal untuk menipu projek tidak wujud, sejak Ogos dan September lalu.

Mohd Nazri Buang, 47, membuat pengakuan itu selepas semua lapan pertuduhan dibaca oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Fatin Dalilah Khalid.

Bapa kepada enam anak itu didakwa menipu warga emas Faizal Awab, 71, supaya menyertai projek di bawah kendalian Baitulmal, Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) Daerah yang menyebabkan mangsa kerugian sehingga RM25,660.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, Mohd Nazri didakwa memperdayakan lelaki terbabit untuk mendapatkan tender membekalkan peralatan perubatan dan membaik pulih rumah fakir miskin daripada MAIJ Muar menyebabkan mangsa menyerahkan sejumlah RM880, RM3,770 dan RM8,900, pada 24 dan 25 Ogos lalu.

Bagi pertuduhan keempat hingga keenam, dia sekali lagi didakwa memperdayakan lelaki terbabit dan mangsa kemudiannya menyerahkan RM3,500, RM630 dan RM1,940 untuk tujuan sama, pada 4 hingga 5 September lalu.

Pertuduhan ketujuh dan kelapan pula, dia didakwa menipu orang sama yang kemudiannya menyerahkan RM4,100 serta RM1,940 kepadanya tanpa mengetahui semua projek ditawarkan tertuduh sebenarnya tidak wujud dengan semua kejadian berlaku di Jalan Salleh, di sini.

Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut seksyen sama iaitu penjara sehingga 10 tahun dan juga sebatan.

Berdasarkan fakta kes, mangsa membuat laporan mendakwa tertuduh menawarkan projek di bawah Baitulmal dan memintanya memberikan modal selain menjanjikan pulang keuntungan sehingga 70 peratus.

Pada masa sama, tertuduh juga menggunakan invois palsu untuk meyakinkan mangsa dengan semua transaksi dijalankan secara berperingkat sejak 24 Ogos hingga 7 September lalu.

Dalam tempoh itu, mangsa tidak menerima sebarang keuntungan dijanjikan sebaliknya diarahkan menambahkan lagi modal untuk pelbagai tujuan. Namun tindakan tertuduh menimbulkan kecurigaan dan mangsa merasakan dia telah ditipu.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Arif Marzuki manakala tertuduh diwakili Nurain Sakina Zakri dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 13 bulan serta tiga sebatan bagi pertuduhan pertama hingga ketiga, 14 bulan penjara dan tiga sebatan (pertuduhan keempat hingga keenam) dan 15 bulan penjara, dua sebatan untuk pertuduhan ketujuh dan kelapan.

Mahkamah juga mengarahkan hukuman penjara berjalan serentak dari tarikh ditahan 16 Oktober lalu manakala sebatan dijalankan secara berasingan.

Terdahulu Ketua Polis Daerah Muar Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz dilaporkan berkata tertuduh ditahan pada 16 Oktober lalu, jam 9.30 malam selepas laporan polis dibuat mangsa.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Oktober 2023 @ 2:48 PM