Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Pemilik butik pengantin di Raub, Pahang dipenjara setahun dan sekali sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana menipu pelanggan dalam urusan khidmat perancang perkahwinan membabitkan kerugian RM9,000, tahun lalu.

Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim, menjatuhkan hukuman itu selepas Hasmerun Hashim, 31, mengaku bersalah atas pertuduhan terbabit.

Mahkamah juga memerintahkan lelaki itu menjalani hukuman penjara bermula tarikh sabitan iaitu hari ini.

Mengikut pertuduhan, Hasmerun didakwa menipu seorang wanita berusia 29 tahun dengan memperdayanya untuk menyerahkan kepada tertuduh wang menerusi dua kali transaksi berjumlah RM9,000 ke akaun CIMB.

Akaun itu atas nama Arjuna Cinta Wedding milik tertuduh dengan memperdayakan mangsa dalam urusan mendapatkan khidmat perancang perkahwinan yang mana mangsa tidak akan menyerahkan wang itu jika tidak diperdayakan sedemikian.

ANGGOTA polis mengiringi pemilik butik pengantin di Raub, Pahang, kerana menipu dalam urusan khidmat perancang perkahwinan membabitkan kerugian RM9,000 dan dijatuhkan hukuman penjara setahun dan sekali sebatan ketika tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. FOTO Aizuddin Saad
ANGGOTA polis mengiringi pemilik butik pengantin di Raub, Pahang, kerana menipu dalam urusan khidmat perancang perkahwinan membabitkan kerugian RM9,000 dan dijatuhkan hukuman penjara setahun dan sekali sebatan ketika tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. FOTO Aizuddin Saad

Kesalahan didakwa dilakukan di residensi di Taman Shamelin Perkasa, Cheras, pada 23 dan 25 Ogos 2023 mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara antara setahun hingga 10 tahun, sebat dan denda jika disabitkan kesalahan.

Terdahulu, Hasmerun yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan atas alasan ada tanggungan ibu bapa uzur, adik dan anak saudara.

"Saya juga mohon hukuman sebat digugurkan," katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Eleena Jamaluddin Akbal memohon hukuman setimpal terhadap tertuduh sebagai pengajaran.

"Tiada sebarang keadaan istimewa untuk gugur hukuman sebat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 January 2024 @ 12:36 PM