Roni dijatuhi hukuman penjara 15 bulan dan satu sebatan atas kesalahan memperdaya warga emas membeli batu delima. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad.
Roni dijatuhi hukuman penjara 15 bulan dan satu sebatan atas kesalahan memperdaya warga emas membeli batu delima. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad.
Meor Riduwan Meor Ahmad


Jasin: Penjual buah warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara 15 bulan dan satu sebatan oleh Mahkamah Majistret Jasin, hari ini, kerana menipu lelaki warga emas untuk membeli batu delima yang kononnya bernilai tinggi dan boleh mengubat bermacam penyakit, tahun lalu.

Tertuduh, Roni Pito, 47, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku salah sebaik pertuduhan dibaca jurubahasa di hadapan Majistret Mohd Firdaus Saleh.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didapati memperdayakan Talib Dahlan @ Jaslan, 76, iaitu dengan curang mendorong mangsa menyerahkan wang tunai RM54,500 kepada tertuduh.

Ia bertujuan bagi pembayaran batu delima berkenaan yang mana mangsa tidak akan menyerahkan wang tunai itu sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.

Perbuatan itu dilakukan di Bandar Jasin, di sini, pada 5 Oktober 2022 dan didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara setahun hingga 10 tahun dan sebat serta denda jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Hanis Aliah Ahmad Kamarulnajuib memohon hukuman berat dikenakan terhadap tertuduh mengambil kira kerugian dialami mangsa.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu hukuman ringan bermula dari tarikh ditangkap pada 19 Jun lalu atas alasan menanggung isteri dan tiga anak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Julai 2023 @ 3:18 PM