Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Kajian menunjukkan kanser payudara adalah barah yang paling banyak dilaporkan di negara ini iaitu 23.3 peratus sejak 2021.

Di Malaysia, secara puratanya kadar kelangsungan hidup selepas lima tahun disahkan menghidap kanser payudara ialah 62 peratus dan kadar itu lebih rendah berbanding negara lain seperti Korea Selatan dan Singapura yang mana melebihi 80 peratus.

Bagaimanapun, kadar kelangsungan hidup pesakit juga bergantung pada tahap kanser semasa didiagnos, yang mana kadar kelangsungan hidup pesakit kanser payudara tahap satu ialah 87.5 peratus manakala tahap empat ialah 23.3 peratus.

Pakar Perunding Bedah Kanser Payudara dan Endokrin Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), Datuk Dr Imi Sairi Ab Hadi berkata, kajian menunjukkan bahawa kelewatan mengesan kanser selain lambat mendapatkan rawatan adalah punca utama kadar kelangsungan hidup pesakit rendah.

"Bagi yang datang lambat mendapatkan rawatan mungkin disebabkan mengambil sikap acuh tak acuh, sedangkan mereka menyedari terdapat ketulan pada payudara, malah ada juga yang beranggapan ia hanyalah bisul.

"Apabila ada ketumbuhan yang tidak menyakitkan mereka tidak akan datang ke hospital melainkan jika berasa teramat sakit, barulah mereka datang mendapatkan rawatan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Pink Walk 2023 yang disempurnakan oleh Tengku Puan Temenggong Kelantan, Tunku Puan Sri Noor Hayati Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj di Dataran Warisan, Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, di sini, hari ini.

Terdahulu hampir 1,500 peserta termasuk pesakit kanser dan survivor kanser yang menyertai program berkenaan dan berjalan sejauh empat kilometer sebagai tanda sokongan.

Dr Imi Sairi berkata, tidak dinafikan juga ada di antara pesakit kanser payudara yang lebih gemar kepada khidmat bomoh dan 'ustaz' untuk mendapatkan air jampi.

"Dua faktor berkenaan akan melengahkan rawatan selain sel kanser juga cepat merebak.

"Bagaimanapun, ada juga mitos yang mengatakan bahawa penggunaan jarum kepada pesakit kanser akan menyebabkan sel kanser tersebar dan ini sebenarnya satu kepercayaan karut," katanya.

Beliau berkata, jika pesakit datang mendapatkan rawatan di hospital, pihaknya terlebih dulu akan mengambil biopsi untuk mengesahkan sama ada ia kanser atau bukan.

"Dalam semua pesakit yang saya rawat, 98 peratus daripada mereka menerima rawatan awal dengan khidmat bomoh atau 'ustaz' untuk mendapatkan air jampi dan apabila lambat ke hospital, kebiasaannya sudah berada pada tahap tiga dan empat," katanya.

Katanya, setiap tahun kes kanser payudara yang dilaporkan di HRPZII semakin meningkat.

"Tiga tahun lalu, sebanyak 160 kes kanser payudara yang dilaporkan dalam tempoh setahun, namun pada 2022 ia meningkat kepada 197 kes setahun yang didiagnos kanser payudara.

"Bagaimanapun ia tidak termasuk kes yang belum dilaporkan kerana mungkin ada di antara mereka mendapatkan rawatan di hospital kerajaan yang berdekatan," katanya.

Dr Imi Sairi Ab Hadi ketika ditemui. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Dr Imi Sairi Ab Hadi ketika ditemui. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Oktober 2023 @ 1:55 PM