Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Penyakit kanser payudara jarang berlaku pada lelaki, namun ia mampu menjadi agresif dan boleh membawa maut jika tidak mendapatkan rawatan awal.

Pakar Perunding Bedah Kanser Payudara dan Endokrin Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Datuk Dr Imi Sairi Ab Hadi berkata, secara purata sekurang-kurangnya terdapat seorang pesakit lelaki yang diagnos menghidap kanser payudara.

Katanya, kanser payudara sinonim dengan golongan wanita, namun penyakit itu sebenarnya boleh membawa maut kepada golongan lelaki, malah komplikasi yang dialami pesakit lelaki juga lebih teruk kerana sel kanser yang menyerang mereka lebih agresif.

"Kurangnya kesedaran atau stigma golongan lelaki yang beranggapan penyakit ini dimonopoli golongan wanita, namun secara tidak sedar, lelaki sebenarnya menghadapi risiko lebih tinggi dan kebanyakan daripada mereka datang mendapatkan rawatan ketika kanser berada pada tahap tiga dan empat.

Pakar Perunding Bedah Kanser Payudara dan Endokrin Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Datuk Dr Imi Sairi Ab Hadi (tiga kanan) bersama pesakit dan bekas pesakit kanser payudara yang menyertai Program Tautan Kasih Kelab Kanser Payudara (KEDARA) di Hotel Perdana. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI
Pakar Perunding Bedah Kanser Payudara dan Endokrin Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Datuk Dr Imi Sairi Ab Hadi (tiga kanan) bersama pesakit dan bekas pesakit kanser payudara yang menyertai Program Tautan Kasih Kelab Kanser Payudara (KEDARA) di Hotel Perdana. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI

"Berdasarkan statistik yang ada, daripada 10 pesakit kanser payudara lelaki yang mendapatkan rawatan selepas setahun meninggal dunia kini hanya tinggal seorang sahaja yang masih bertahan serta meneruskan rawatan susulan secara berkala," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program Tautan Kasih Kelab Kanser Payudara (KEDARA) yang disempurnakan oleh Tengku Puan Temenggong Kelantan, Tunku Puan Sri Noor Hayati Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, di sini, hari ini.

Dr Imi Sairi berkata, sehingga tahun lalu, lebih 8,000 pesakit kanser payudara termasuk golongan wanita dan lelaki dikenal pasti di negara ini.

"Tidak dinafikan, pesakit yang mendapatkan rawatan adalah mereka yang mengambil pilihan terakhir selepas mendapatkan rawatan tradisional secara 'belah batin'selain minuman penawar kononnya boleh menyembuhkan penyakit ini.

"Namun, masyarakat perlu peka dan berhati-hati dengan sebarang produk atau suplemen serta klorofil untuk mengubati kanser, tetapi hakikat sebenarnya produk itu boleh merangsang pertumbuhan sel kanser," katanya.

GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 April 2021 @ 2:01 PM