Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Pelajar lelaki yang diselamatkan dalam kejadian lemas di Pantai Mutiara berhampiran Kem Terendak, Sungai Udang, di sini, petang Jumaat minggu lalu, meninggal dunia malam tadi, selepas seminggu dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka (HM).

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, mangsa, Mohamad Lukhman Aliff Mokhtar, 16, sebelum ini dibawa dengan ambulans Hospital Kem Terendak ke Bahagian Kecemasan HM, jam 8.40 malam, pada 13 Oktober lalu, untuk rawatan lanjut.

"Sepanjang rawatan, arwah mendapat bantuan pernafasan dan pemeriksaan secara berkala oleh pihak hospital sebelum didapati mengalami brain death (kematian otak) akibat kekurangan oksigen.

"Doktor bertugas dari wad ICU Dahlia mengesahkan bahawa arwah meninggal dunia pada 8 malam tadi," katanya.

Beliau berkata, jenazah mangsa yang juga anak kepada salah seorang anggota bertugas di Balai Polis Banda Hilir itu dibawa ke Pasir Mas, Kelantan untuk dikebumikan.

Media sebelum ini melaporkan, seorang rakan mangsa, Faris Darwisy Mohd Faizal, 16, turut lemas dalam kejadian berkenaan.

Difahamkan, ketika kejadian, mereka ke pantai itu bersama 14 pelajar dan dua guru Sekolah Menengah Kebangsaan Kem Terendak pada kira-kira 6 petang untuk meraikan hari terakhir guru pelatih di sekolah berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Oktober 2023 @ 10:09 AM