MOHD Razif bersama Allahyarhamah Harniza dan tiga anak berusia lima, sembilan dan 11 tahun ketika menyambut Aidilfitri lalu.
MOHD Razif bersama Allahyarhamah Harniza dan tiga anak berusia lima, sembilan dan 11 tahun ketika menyambut Aidilfitri lalu.
Hassan Omar
am@hmetro.com.my

Masjid Tanah: Mohd Akhir Mohd Razif andai lelaki dan Noor Aisyah jika perempuan adalah nama yang disediakan untuk anak keempatnya.

Bagaimanapun anaknya itu meninggal dunia ketika 26 minggu di dalam kandungan arwah ibunya.

Nama berkenaan diberikan Mohd Razif Wazir, 36, ketika menunggu anak keempat itu dilahirkan tetapi anaknya kembali ke rahmatullah bersama isteri, Allahyarhamah Harniza Samsudin, 37, akibat Covid-19.

Menyorot kembali detik duka itu, Mohd Razif berkata, arwah isterinya dimasukkan ke Hospital Melaka akibat demam panas pada 1 Julai lalu dan dia yang ketika itu bertugas di sebuah kem tentera di Tapah, Perak hanya dapat pulang ke kediaman mereka di Taman Seri Tanjung Dahan, Kuala Linggi, dekat sini, empat hari selepas itu.

Katanya, dia baharu enam bulan dipindahkan ke kem berkenaan selepas berkhidmat dalam 9 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Para di Kem Terendak, Sungai Udang.

"Arwah berpesan supaya saya tidak risau kerana arwah cuma ingin berehat sebentar dalam wad dan yakin akan pulih dengan izin Allah.

"Bagaimanapun selepas disahkan positif Covid-19, arwah dipindahkan ke unit rawatan rapi (ICU) pada 6 Julai lalu tetapi saya tidak dibenarkan berjumpa arwah kerana pandemik itu," katanya ketika dihubungi di kediaman bapa mentuanya di Kampung Tanjung Dahan, hari ini.

Mohd Razif berkata, dia dibenarkan melihat arwah isterinya dari jauh di ICU pada 12 Julai lalu dan ia adalah detik terakhir dia berpeluang melambaikan tangan kepada arwah dalam keadaan isterinya terpaksa bergantung kepada alat bantuan pernafasan.

"Pada jam 5.11 petang, 15 Julai lalu, saya diberikan peluang bercakap dengan arwah melalui panggilan video dan saya sempat mengajar arwah mengucap dua kalimah syahadah.

"Beberapa saat selepas itu arwah pergi meninggalkan saya dan tiga anak, masing-masing perempuan berusia lima dan dua lelaki berusia sembilan dan 11 tahun," katanya.

Jenazah arwah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tanjung Dahan, 16 Julai lalu.

Mohd Razif berkata, dia bersyukur diberikan peluang memakai peralatan perlindungan diri oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia untuk membolehkannya menyambut jenazah isteri ketika diturunkan ke dalam liang lahad.

Meskipun amat pedih untuk menerima hakikat pemergian arwah isteri dan anak keempat, Mohd Razif berkata, dia tetap tabah dan reda meneruskan kehidupan bersama tiga anak yang ingin dididik menjadi insan soleh.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Ogos 2021 @ 8:31 PM