Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
BERNAMA

Pekan: Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini, menzahirkan rasa kesal dan dukacita dengan kejadian buli yang dilaporkan berlaku di sekolah di negeri itu baru-baru ini.

Baginda bertitah, kejadian buli yang didakwa berlaku di Rompin, Maran dan Lipis itu tidak seharusnya berlaku sama sekali serta menitahkan pihak berkaitan, khususnya Jabatan Pendidikan Negeri Pahang mengambil langkah segera untuk memastikan persekitaran selamat di sekolah.

"Ibu bapa juga perlu memberi peringatan dan nasihat tanpa jemu kepada anak-anak supaya tidak terbabit dalam aktiviti membuli. Pentadbir sekolah perlu kerap mengadakan program kesedaran, keagamaan dan pendidikan sivik untuk menerapkan nilai positif dalam diri setiap pelajar," titah baginda.

Tengku Hassanal bertitah demikian pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Pahang sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-62 Sultan Pahang di Istana Abu Bakar di sini.

Semalam, media melaporkan, Timbalan Ketua Polis Pahang Datuk Mohd Yusri Hassan Basri mengesahkan, pihaknya menerima tiga laporan antara 6 dan 10 Disember lalu daripada mangsa buli yang mendakwa dipukul pelajar senior atas pelbagai alasan sehingga lebam dan bengkak.

Selain itu, Tengku Hassanal juga memberi peringatan kepada pentadbiran negeri termasuk wakil rakyat dan ketua jabatan supaya meningkatkan perkhidmatan, mempermudahkan urusan rakyat, mengurangkan birokrasi serta membuang proses yang tidak perlu dalam menjalankan tanggungjawab mereka kepada masyarakat.

"Keraplah turun padang untuk melihat sendiri permasalahan rakyat. Beta sendiri akan sentiasa memantau dan membuat lawatan mengejut tidak kira di bandar atau pedalaman.

"Walaupun Pahang harus menjadi negeri maju, namun jangan ia hanya pada nama sedangkan rakyat tidak merasa manisnya," titah baginda.

Selain itu, Tengku Hassanal juga menitahkan kerajaan negeri yang diterajui Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, supaya menekankan aspek alam sekitar walaupun menuju ke arah menjadi negeri maju dan turut memuji tindakan menambah 70,000 hektar hutan simpan kekal dan hutan simpan pada tahun ini.

Penubuhan skuad elit di bawah Unit Penguatkuasaan Negeri juga menurut Tengku Hassanal, menunjukkan keseriusan kerajaan negeri membanteras pembalakan, perlombongan dan pencerobohan tanah haram di Pahang, malah tindakan itu perlu terus dipertingkatkan.

Tengku Hassanal juga bertitah, baginda menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung persetujuan Kerajaan Persekutuan memberikan pampasan kepada Pahang, atas usaha cemerlang mengekalkan kawasan hutan simpan.

Kepada semua penerima darjah kebesaran dan pingat, Tengku Hassanal menitahkan mereka supaya menjaga kemuliaan anugerah itu dengan menunjukkan contoh tauladan yang baik dan sentiasa membantu golongan memerlukan.

"Beta tidak mahu kurniaan ini menjadikan anda lupa diri, sombong, riak dan angkuh sebaliknya sentiasalah menjadi hamba-Nya yang banyak bersyukur," titah baginda.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Disember 2021 @ 1:45 PM