Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dan Datuk Seri Fadillah Yusof, meninggalkan dewan selepas pembentangan Belanjawan 2024 Malaysia Madani di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dan Datuk Seri Fadillah Yusof, meninggalkan dewan selepas pembentangan Belanjawan 2024 Malaysia Madani di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan beliau berpuas hati dengan perincian pembentangan Belanjawan 2024 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, beliau mengakui masih ada ruang untuk penambahbaikan terutamanya selepas melaksanakan kajian pasca pembentangan Belanjawan 2024.

"Kita bukan bersifat maksum ertinya bukan sempurna. Tentu ada beberapa kekurangan dan kelemahan yang kita perlu perbaiki.

"Insya-Allah dari semasa ke semasa apa yang disebutkan oleh Perdana Menteri tidak semua kementerian dapat dipuaskan hati.

"Tetapi saya yakin pendekatan yang baharu akan dilakukan apabila kajian dibuat pertengahan tahun (mengenai) belanjawan ini," katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof pula menyifatkan Belanjawan 2024 yang dibentangkan oleh Anwar adalah komprehensif.

Menurutnya, ia menyentuh semua laporan dan segmen masyarakat sama ada perniagaan, individu, tua, muda, lelaki dan wanita.

"Semua disentuh. Saya kira inilah konsep Malaysia Madani yang hendak diketengahkan oleh beliau.

"Ini juga sesuai dengan konsep Malaysia Madani yang berteraskan kepada dua perkara iaitu menstruktur ekonomi dan juga menjadikan Malaysia sebagai peneraju sekali lagi di rantau asia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2023 @ 9:12 PM