BAKRI Sawir (kiri) dan Kasim Tawe (dua kiri) ketika melepaskan benih ikan di Jeram Enggang, Kampung Ulu Jelebu. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
BAKRI Sawir (kiri) dan Kasim Tawe (dua kiri) ketika melepaskan benih ikan di Jeram Enggang, Kampung Ulu Jelebu. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Abnor Hamizam Abd Manap

Jelebu: Sanggup meredah jauh ke dalam belantara dengan memikul bungkusan berisi ribuan anak ikan yang mahu dilepaskan ke sungai atau habitat bersesuaian.

Itu antara tugas kakitangan Jabatan Perikanan Negeri Sembilan dalam memastikan pelbagai spesies ikan air tawar negara tidak diancam kepupusan selain menjamin bekalan makanan kepada masyarakat,

Pengarahnya Kasim Tawe berkata, 500,000 anak ikan dilepas di 31 lokasi perairan umum di negeri ini membabitkan kos RM150,000 pada 2021.

Katanya, perairan umum merangkumi sungai, tasik atau bekas lombong menjadi lokasi utama pelepasan benih anak ikan.

"Kami komited melaksanakan program pelepasan anak ikan dan berharap perairan umum di negeri ini mempunyai bekalan ikan air tawar yang menjadi sumber makanan utama penduduk.

"Bagi tahun ini kami merancang melepaskan 300,000 anak ikan. Setakat hari ini 73,000 dilepaskan dan berharap 30 peratus daripadanya dapat membesar dengan baik," katanya pada Program Pelepasan Anak Ikan di Jeram Enggang di sini.

Sebanyak 15,000 ekor benih ikan masing-masing 10,000 lampam sungai dan 5,000 turbol dilepaskan di sini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Bakri Sawir.

Kasim berkata, antara benih ikan dilepas adalah lampam sungai, turbol, kelah, jelawat, baung, udang galah dan induk ikan siakap.

"Pelepasan benih ikan program tahunan dilaksanakan jabatan perikanan sebagai usaha memastikan stok ikan tawar sentiasa wujud.

Adalah penting bagi jabatan perikanan mengambil langkah konsisten secara serius dalam pengurusan dan pemuliharaan sumber perikanan air tawar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Julai 2022 @ 5:34 PM